Seorang suri rumah tidak berputus asa untuk memulakan perniagaan baharu selepas perniagaan lama yang diusahakan lapan tahun lalu tidak bertahan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Noor Fatimah Khalid, 34, pernah membuka gerai makanan western pada 2016 sebelum terpaksa ditutup kerana PKP.
Dia kini memulakan perniagaan baharu nachos viral yang kini memberi rezeki tidak disangka-sangka buatnya.
Menurut Majoriti, Fatimah yang merupakan lulusan bidang kulinari itu mampu meraih RM2,000 sehari berkat menjual makanan popular itu selepas ia menjadi trend kebelakangan ini.
“Alhamdulillah, saya dapat jual dalam beratus bekas sehari.
“Keuntungan boleh mencecah RM2,000 dan saya berpuas hati sebab dapat beri lebih kepada pelanggan.
“Harga murah dengan portion banyak,” ujar Fatimah seperti dilapor.
Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, bisnes nachosnya mula mendapat perhatian ramai apabila dia mengambil keputusan untuk menjual nachos daging berempah dan ayam BBQ sebagai pilihan utama.
Keistimewaan nachos yang dijualnya terletak pada bahan-bahan yang digunakan iaitu daging yang dimasak dengan rempah khas berbeza dengan kebanyakan nachos yang hanya menggunakan daging kering atau tanpa rasa.
Tidak hanya itu, pelanggan juga berpuas hati dengan harga yang sangat berpatutan yang dijual satu bekas nachos berharga RM12 dengan pilihan daging atau ayam.
Pelanggan juga boleh memilih untuk menambah ramuan seperti daging mahupun salsa tanpa caj tambahan, atau mencampurkan daging dan ayam pada harga RM15 sahaja.
Baca juga: Wanita kesal suami terlalu prihatin, ‘transfer’ RM3,000 untuk janda susah di TikTok