BJ Habibie: Malaysia- Indonesia kehilangan pejuang demokrasi tulen

BJ Habibie: Malaysia- Indonesia kehilangan pejuang demokrasi tulen

Parti Amanah Negara (AMANAH) menzahirkan rasa dukacita yang amat mendalam di atas pemergian bekas Presiden Republik Indonesia ketiga, Bacharuddin Jusuf Habibie yang lebih dikenali sebagai BJ Habibie pada petang Rabu.

Setiausaha Agung Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, pemergian BJ Habibie bukan sahaja satu kehilangan besar kepada Indonesia tetapi juga Malaysia sebagai negara tetangga yang saling berkongsi perasaan tatkala dilanda kedukaan dan kegembiraan.

“AMANAH mengenali watak beliau sebagai seorang demokrat Muslim tulen yang perlu terus dibangga-banggakan oleh Indonesia dan Malaysia serta diteladani keperibadiannya.

“BJ Habibie memimpin Indonesia sebagai presiden hanyalah pada waktu yangsingkat iaitu bermula 21 Mei 1998 hingga 20 Oktober 1999 sahaja. Tetapi dalam
tempoh sesingkat itu, beliau berjaya menampilkan perwatakan demokrat sebenar apabila bertindak melaksanakan reformasi secara besar-besaran di negara sang saka merah putih itu.

“Reformasi terbesar yang akan diingati sepanjang zaman adalah memberikebebasan dan hak asasi kepada rakyatnya serta menghapuskan undangundang drakonian tinggalan penjajah dan diktator sebelum beliau.

“Tahanan-tahanan politik yang ditahan atas alasan kepentingan keselamatanumum telah dibebaskan dan membenarkan partai-partai ditubuhkan lalu menyertai Pemilihan Umum (Pemilu) tanpa perlu bimbang lagi dengan pihak berkuasa yang mahu mengekang kritikan terhadap penguasa.

“Di bawah pentadbiran beliau juga sebuah wilayah dilepaskan dari Indonesiayang mana kemudiannya terbentuk menjadi sebuah negara yang dikenali sebagai Timor Timur pada tahun 1999. Inilah juga bukti besar betapa BJ Habibie begitu menghormati prinsip kebebasan dan hak kebebasan.

“Hayat politiknya sebagai presiden dihentikan sendiri oleh beliau selepas PidatoPertanggungjawaban pada 19 Oktober 1999 yang diucapkan dalam Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) tidak mendapat sokongan besar daripada wakilwakil dewan. Tanpa sebarang desakan untuk berundur, beliau menganggap kegagalan memperoleh sokongan itu adalah isyarat pengunduran yang tidak boleh diabaikan.

“Menyedari akan hakikat BJ Habibie sebagai demokrat Muslim inilah maka tidak aneh apabila beliau turut dikenali sebagai ‘Pangeran Demokrasi’. Perwatakan beliau tidak terhad dalam dunia politik. Dari segi bidang pendidikan dan kerjaya, beliau terkenal sebagai teknokrat yang bijaksana dengan kemahiran tinggi dalam bidang pembuatan kapal terbang,” ujarnya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Anuar yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata, secara peribadi, beliau pernah bertemu beberapa kali serta bermesyuarat bersama BJ Habibie serta melihat sendiri gaya kepimpinan dan daya intelektual yang dimiliki allahyarham.

“Semasa beliau mempelopori gerakan Ikatan Cendekiawan Muslim Indonesia (ICMI), para pemuda dari Indonesia dan Malaysia termasuk saya sering mengadakan pertemuan untuk membincangkan pelbagai agenda pembangunan demi umat Islam serantau.

“Untuk keluarga BJ Habibie secara khusus dan keluarga besar Indonesia, salamtakziah diucapkan dan sesungguhnya Malaysia dan Indonesia berkongsi kedukaan yang sama,” ujarnya.

Pada Rabu media melaporkan Presiden ketiga Indonesia BJ Habibie, meninggal dunia di Rumah Sakit (Hospital) Pusat Angkatan Darat Gatot Soebroto berikutan pelbagai masalah kesihatan yang dialaminya.

Menurut anak lelakinya, Thareq Kemal yang dipetik media tempatan, bekas presiden itu meninggal dunia jam 6.01 petang waktu Indonesia Barat, selepas menjalani rawatan intensif oleh pasukan Doktor Kepresidenan Indonesia selepas dimasukkan ke hospital itu sejak 1 Sept lepas.