Malaysia Dateline

Black Democracy tengah hari ini: Kompaun, tangkap terus jika sertai

Polis akan terus memberikan kompaun kepada individu atau pihak yang didapati berkumpul di Perlis bagi membantah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi perhimpunan haram Black Democracy (BD).

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, pihaknya mendapati tiada perhimpunan berkenaan cuba diadakan di negeri itu berdasarkan risikan, setakat ini.

“Risikan kita setakat ini mendapati tiada perhimpunan BD ini akan diadakan di Perlis namun begitu kita akan terus memantau secara teliti pematuhan prosedur operasi standard (SOP) fasa satu kawalan pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Malah, tindakan kompaun akan dikenakan jika didapati berlaku ketidakpatuhan SOP,” lapor BH malam tadi.

Katanya, pihaknya akan bersama-sama meningkatkan pemantauan pematuhan SOP di negeri itu bersama petugas dan anggota keselamatan dari agensi lain.

“Jika ada yang didapati masih mengikuti perhimpunan berkenaan, kita akan kompaun mereka kerana melanggar SOP berhimpun.

“Namun jika ada kesalahan jenayah pula, mereka akan ditahan dan dituduh mengikut kesalahan jenayah,” katanya lagi.

Tangkap layar video yang mengajak orang ramai berhimpun bagi membantah pelaksanaan PKP.

Sementara itu, di Johor, Ketua Polisnya, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memberi amaran pihaknya akan menangkap sesiapa sahaja yang mengadakan perhimpunan Demokrasi Hitam di mana-mana lokasi negeri itu tanpa memberikan amaran bersurai.

Tegasnya, Polis Johor juga sudah menggerakkan semua elemen keselamatan termasuk kawalan bersesuaian jika terdapat perhimpunan seperti yang didakwa akan diadakan di beberapa lokasi bertujuan membantah lanjutan PKP.

“Sesiapa yang berkumpul, kita akan terus tangkap. Zaman PKP nak berkumpul buat apa, baik duduk rumah.

“Polis Johor sudah ambil langkah awal memantau. Kalau ada mana-mana individu atau kumpulan yang berkumpul kita akan terus ambil tindakan. Tiada lagi nak beri amaran,” katanya lagi.

Sementara itu di Negeri Sembilan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban memaklumkan telah menerima satu laporan polis semalam daripada individu yang dikatakan terlibat dengan operasi “Black Democracy”.

Menerusi kenyataannya malam tadi, lelaki Melayu itu menafikan terlibat dalam menganjurkan perhimpunan Solidariti Rakyat Malaysia yang dijangka akan diadakan hari ini di hadapan bangunan KSWP Seremban.

“Individu tersebut menafi sekeras-kerasnya penglibatan secara langsung atau tidak langsung dalam perhimpunan tersebut,” kata IPD Seremban.

Sehubungan itu, kata kenyataan itu, pihak polis memberikan amaran kepada masyarakat agar tidak terlibat dengan perhimpunan yang bertujuan menjatuhkan kerajaan sedia ada kerana tindakan “lockdown” dan dianggap sebagai menindas rakyat itu.

“Tindakan tegas akan diambil dibawah Akta 342, Akta Perhimpunan Aman 2012 dan undang-undang lain yang berkaitan sekiranya terkesan mana-mana individu yang terlibat,” kata kenyataan itu lagi.

Kelmarin, polis dilaporkan akan mengambil tindakan tegas terhadap penganjur dan peserta perhimpunan susulan tular satu rakaman video mengajak orang ramai berhimpun menerusi ‘operasi’ Black Democracy pada jam 12 tengah hari di beberapa lokasi seluruh negara hari ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim, dilaporkan berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas mereka yang dikesan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Video Anonymous berdurasi dua minit 40 saat yang tular di media sosial itu antara lain mengingatkan orang ramai kekal berada dalam kenderaaan masing-masing sambil membunyikan hon dan mengambil gambar atau membuat rakaman video bersama #KerajaaanGagal.

Lima lokasi aksi itu dirancang di seluruh negara iaitu di Istana Negara, Dataran Merdeka, Masjid Putrajaya serta istana dan pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di negeri masing-masing.

“Ingat, jangan keluar berhimpun sebab ini bukan perhimpunan. Jangan buat provokasi ke atas pihak polis kerana musuh kita bukan polis.

“Kami mahu anda semua keluar di atas jalan raya dengan aman.

“Pada masa itu Majlis Raja-Raja sedang bersidang. Kita sesakkan kenderaan sehingga kerajaan mengaku kalah pada jam 6 petang,” kata rakaman video yang diakhiri dengan empat baris lagu Negaraku itu lagi.

Antara pesanan Anonymous untuk aksi protes mulai tengah hari ini sehingga 6 petang.