Malaysia Dateline

Blisson dedah kronologi desakan Haziq di kempen PRK Sandakan

Timbalan Ketua Pemuda PKR Sabah, Blisson Zainuddin hari ini mendedahkan, Haziq Aziz pernah mendesak beliau untuk mengetahui mengenai butiran jadual Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabah yang lalu.

Katanya, sepanjang kempen PRK Sandakan, lelaki tersebut telah menghubunginya beberapa kali melalui panggilan telefon dan juga aplikasi Whatsapp untuk bertanyakan jadual aktiviti, termasuk lokasi serta tempat penginapan Azmin Ali.

“ Dia menghantar pesanan bertanya berkenaan butiran lawatan Azmin Ali seawal 27 April kemudian sekali lagi pada 30 April, 3 Mei, 6 Mei, 7 Mei, 8 Mei dan 10 Mei.

“ Itu belum termasuk panggilan telefon yang turut mendesak ingin mengetahui butiran mengenai jadual, penginapan dan lain-lain tentang Timbalan Presiden PKR itu sempena PRK Sandakan.

“ Walaupun ia telah mengundang rasa tidak senang kerana dia terlalu mendesak, namun atas dasar politik dan tanggungjawab saya maka saya cuba layankan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dedah Blisson lagi, selepas PRK Sandakan berlangsung dan dalam minggu lepas, Haziq telah menghubunginya melalui panggilan telefon, dan memintanya mengabaikan serta tidak mendedahkan kepada sesiapa mengenai komunikasi mereka ketika di PRK Sandakan yang lalu.

“ Saya sendiri pelik dengan cara dia tetapi tidak mengambil serius. Namun setelah video fitnah tular yang mana dia menfitnah lucah Azmin melakukan hubungan seks dengan dia, saya mula faham kenapa lelaki tersebut bersungguh mendesak saya mendapatkan butiran lawatan Timbalan Presiden PKR itu, dan saya sangat yakin ia berkaitan perancangan jahat.

“Jika benar dia mempunyai hubungan sebelum PRK Sandakan lagi, kenapa pula lelaki itu harus mendesak saya bagi mendapatkan butiran Azmin. Jika benar mereka intim, maka sudah pasti dia terus berhubung,” jelasnya lagi.

Haziq menerusi satu hantaran di Facebooknya semalam, mendakwa perbuatan sama pernah dilakukannya sebanyak tiga kali sebelum video terbaharu itu terbongkar pada awal pagi Selasa lalu.

“Pertama sekali di Grand Continental Kuching, tiga tahun lalu, kemudian di Pullman Kuching ketika Pemilihan Parti pada Oktober tahun lepas.

“Kami melakukannya semula di Grand Hyatt KL ketika kamu berkhidmat sebagai Menteri Pengiring kepada Sultan Brunei pada Mac tahun ini dan pertemuan baru-baru ini di Fourpoint Sandakan, bulan lepas,” katanya.

Beliau juga telah membuat akuan bersumpah pada hari ini dengan melampirkan 12 salinan cetakan skrin aplikasi Whatsapp.

“Saya bertanggungjawab membuat akuan berkanun ini dengan rela hati kerana jijik dengan fitnah jahat. Saya bertanggungjawab sepenuhnya berdasarkan Akta Akuan Bersumpah dan berikrar atas kebenaran semua kenyataan saya termasuk 12 salinan cetakan skrin aplikasi whats app yang dilampirkan,” katanya.