Blok ketiga alat BN, dakwa Salahuddin

Blok ketiga alat BN, dakwa Salahuddin

Gabungan beberapa parti yang membentuk “blok ketiga” adalah alat untuk memecah-belahkan pembangkang, kata Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub.

Beliau dalam satu kenyataan dipetik berkata ia terhasil daripada suatu perancangan sulit dan rapi pihak yang berkenaan selepas Pakatan Harapan kian mendapat sambutan daripada rakyat.

Dalam kenyataannya Salahuddin berkata, disebabkan itu kewujudan blok ketiga itu dijangka boleh memberi sumbangan kepada kemenangan BN.

Justeru, katanya, rakyat mesti diyakinkan bahawa kewujudan blok ketiga terbabit memang perancangan rapi untuk melemahkan pakatan pembangkang.

“Amanah dan parti rakan dalam Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan melaksanakan kempen besar-besaran ke seluruh negara supaya rakyat benar-benar faham bahawa pakatan blok ketiga adalah proksi BN walaupun mereka menegaskan mereka tidak bersama BN,” katanya seperti dilapor Malaysiakini hari ini.

Ketika beberapa parti bergabung dalam Pakatan Harapan, Pas bersama beberapa parti lain membentuk kerjasama berasingan dan menganggap mereka sebagai “blok ketiga”.

Ia diwujudkan sebagai satu lagi pilihan kepada pengundi selain BN dan Pakatan Harapan.

Bersatu cuba membawa Pas menyertai Pakatan Harapan namun mereka bertegas menolak kerana enggan bekerjasama dengan Amanah serta DAP.

Beberapa pihak pula menganggap Pas mengambil sikap begitu kerana mengikut percaturan mereka, parti berkenaan memiliki kelebihan dengan tidak menyertai Pakatan Harapan.

Salahuddin berkata, pada masa sama Amanah menganggap Bersatu sebagai parti yang boleh diteladani.

Alasannya parti itu dilihat bersegera memperkukuh posisi mereka bersama Pakatan Harapan untuk “menentang kezaliman BN” yang didakwanya mengalami skandal terbesar ketika ini.

“Rakyat wajib menolak parti politik yang hanya ingin menjadi King Maker dan kelihatan pro-BN.

“Ini adalah parti yang tidak boleh dipercayai sama sekali untuk diberikan mandat dalam PRU14 akan datang,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)