Blok ketiga bantu meriahkan politik negara, pilihan tetap BN atau PH

Blok ketiga bantu meriahkan politik negara, pilihan tetap BN atau PH

Parti Amanah Negara (Amanah) menganggap usaha mewujudkan pakatan politik sebagai suatu kebiasaan dalam politik Malaysia dan menyifatkan usaha Pas untuk mewujudkan gabungan politik baru atau 'blok politik ketiga' sebagai memeriahkan politik negara.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Parti Amanah Negara (Amanah) menganggap usaha mewujudkan pakatan politik sebagai suatu kebiasaan dalam politik Malaysia dan menyifatkan usaha Pas untuk mewujudkan gabungan politik baru atau ‘blok politik ketiga’ boleh memeriahkan politik negara.

Presiden  Amanah Mohamad Sabu berkata, tindakan Pas mewujudkan gabungan politik baru itu juga membuktikan parti itu menyedari perlunya kerjasama dalam politik negara khususnya bagi menghadapi BN dan membentuk kerajaan di peringkat persekutuan.

Dalam wawancara dengan Malaysia Dateline di Shah Alam, semalam, Mohamad bagaimanapun yakin bahawa pertembungan politik sebenar dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang adalah antara Pakatan Harapan (PH) dan BN.

“Kuasa ketiga, keempat, kelima tak penting (tidak relevan) kerana rakyat akan pilih antara dua (PH atau BN),” ujarnya.

Beliau turut meyakini kemampuan DAP, PKR dan Amanah dalam meraih sokongan rakyat berdasarkan sambutan yang diterima setakat ini.

Menurutnya, walaupun Amanah baru enam bulan ditubuhkan namun perkembangannya sungguh membanggakan.

Amanah ujar beliau bukan sahaja dianggotai bekas ahli Pas, badan bukan kerajaan (NGO) seperti Abim dan Ikram malah oleh bekas anggota Umno.

“Minggu lalu di Pulau Pinang kita tubuhkan cawangan Amanah dengan 70 ahlinya ialah bekas ahli Umno,” katanya.

Beliau juga menyentuh kajian yang dibuat Ilham Center yang mendapati sikap ‘tidak pasti’ (uncertainty) pengundi terhadap parti-parti politik begitu tinggi apabila ramai responden yang ditanya dalam soal selidik tidak pasti parti mana yang bakal mereka pilih dalam PRU nanti.

Bagi beliau, sikap ‘tidak pasti’ yang tinggi di kalangan pengundi ini memberi cabaran kepada parti-parti yang telah lama bertapak dalam politik negara dan memberi harapan kepada parti baru seperti Amanah untuk meraih undi.

Dalam perkembangan berkaitan, Pas dijadual mengumumkan pembentukan pakatan politik baru dengan sebuah parti pelbagai bangsa dan NGO hari ini.

Pengumuman berhubung ‘blok politik ketiga’ itu dibuat Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan minggu lalu.

TAGS