Malaysia Dateline

Blok Mahathir bersama PH tolak usul Yang Dipertua Dewan Rakyat

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu blok pembangkang membantah usul penukaran Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Timbalannya seperti dicadangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Anwar berkata, tiada isu peribadi dikaitkan dengan bantahan terhadap cadangan terbabit apabila ditanya hubungan antaranya dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung usaha menolak usul itu.

“Kita ada bermesyuarat mengenai usul ini secara tak formal bersama gabungan diketuai Mahathir dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Mereka akan bersama PH menolak usul dicadangkan Perdana Menteri, walaupun ia dicadangkan PH,” katanya pada sidang media selepas Taklimat Ahli Parlimen Pra Persidangan Dewan Rakyat di Subang, hari ini.

Sementara itu, Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan menerima sokongan 108 Ahli Parlimen daripada blok pembangkang untuk membantah usul tersebut.

“Kita mendapat sokongan 91 Ahli Parlimen PH dan 17 Ahli Parlimen lain masing-masing daripada Warisan, Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Bebas,” jelasnya.