Malaysia Dateline

Blok pembangkang diseru bersatu demi rakyat

Semua ahli politik khususnya ahli Parlimen yang tidak bersetuju dengan cadangan darurat diseru agar bersatu.

Naib Ketua Pemuda AMANAH Gombak, Syazmir Hariz Noorazalan berkata, kesemua pemimpin blok pembangkang perlu bersatu bagi membentuk gabungan yang menggantikan kerajaan sedia ada.

“Kesemua ahli politik yang tidak bersetuju dengan usaha ini (darurat) termasuk sebahagian ahli Parlimen Umno antaranya Tengku Razaleigh Hamzah pastinya memikirkan soal rakyat yang sedang tersepit,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Blok oposisi pada masa ini terdiri daripada Pakatan Harapan (PKR, AMANAH dan DAP) sebagai gabungan pembangkang terbesar dengan 91 kerusi Parlimen, Warisan (8) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan 19 kerusi.

Jumlah kerusi Parlimen yang dimiliki kesemua parti terbabit sebanyak 118 kerusi.

Turut berada di pihak pembangkang Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang masing-masing dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Muar.

Sehubungan itu, Syazmir berharap ahli Parlimen pembangkang mengenepikan sentimen politik masing-masing.

Menurutnya, sikap tersebut dapat membentuk satu pakatan baharu yang kukuh dan ampuh demi membina sebuah kerajaan yang boleh berfungsi dengan baik dan stabil.

“Semuanya demi kelangsungan rakyat yang sedang ditimpa musibah besar,” tegasnya.

Mengulas sikap kerajaan berhubung syor pelaksanaan darurat, beliau berpendapat PN lebih banyak berpolitik walaupun perintah tersebut mengundang masalah besar kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.