Blok politik ketiga: Ahli desak Pas bincang peranan parti dalam muktamar khas

Blok politik ketiga: Ahli desak Pas bincang peranan parti dalam muktamar khas

Pas perlu mengadakan muktamar khas bagi membincangkan peranan Pas dalam blok ketiga supaya perpecahan seperti tertubuhnya Parti Amanah Negara (Amanah) hingga melemahkan Pas pada ketika ini, tidak berlaku lagi.

Dr Rosli Allani Abdul KadirPas perlu mengadakan muktamar khas bagi membincangkan peranan Pas dalam blok ketiga supaya perpecahan seperti tertubuhnya Parti Amanah Negara (Amanah) hingga melemahkan Pas pada ketika ini, tidak berlaku lagi.

Pemangku Yang Dipertua Pas Kota Bharu, Dr Rosli Allani Abdul Kadir berkata, pengumuman yang dibuat mengenai kerjasama blok ketiga tersebut telah mengejutkan banyak pihak.

“Sejurus itu juga beberapa parti membuat penafian akan penglibatan mereka dengan blok ini. Malah pengumuman itu pastinya juga menyebabkan ahli di akar umbi terpinga-pinga.

“Selepas terkuburnya Pakatan Rakyat pada Muktamar Pas Pusat yang terakhir di Kuala Selangor, bila pula kita mahu bincangkan secara serius akan penubuhan blok pembangkang yang baharu ini?

“Bukankah menjadi kebiasaan kepada Pas untuk mengadakan muktamar khas bila mana satu keputusan besar ingin dibuat?” katanya.

Menurutnya, walaupun Jawatankuasa Kerja Pas Pusat membuat kuasa dalam sebarang keputusan dan pertimbangan berdasarkan Fasal 26 (9) Perlembagaan Pas, perbincangan juga perlu diadakan.

“Fasal itu memberi kuasa kepada Jawatankuasa Kerja Pas Pusat membuat pertimbangan untuk bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan lain yang tidak bercanggah dengan dasar dan tujuan Pas dan membuat keputusan mengenainya setelah dipersetujui oleh Majlis Syura Ulama.

“Namun begitu, perlulah diambil kira bahawa Muktamar Pas Pusat adalah kuasa tertinggi dalam parti Islam ini sejajar dengan perlembagaannya,” katanya.

Katanya, Pas perlu mengambil iktibar pengalaman tahaluf sebelum ini dalam membuat sebarang keputusan.

“Mungkin banyak pertimbangan telah dibuat dan memerlukan keputusan yang cepat sejajar dengan cepatnya perkembangan politik tanah air sehari dua ini, namun pengalaman daripada tahaluf dan usaha sama lepas hingga berlaku perpecahan dalaman perlu dijadikan pedoman.

“Dan tentunya yang paling banyak menyimpan kenangan pahit manisnya adalah ahli-ahli di akar umbi,” katanya.

Hari ini Pas dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) secara rasmi mengumumkan mengadakan kerjasama politik dalam blok ketiga.

Presiden Pas Datuk Abdul Hadi Awang dalam kenyataan media bersama Abdul Kadir berkata, pertemuan hari ini membuka ruang ke arah membina suatu kumpulan persefahaman kerjasama politik lebih tersusun yang sedang digagaskan oleh Pas.

Kerjasama politik tersebut juga menurut Abdul hadi menunutut mereka bergerak di atas teras penyelesaian dan politik membina, di samping menolak budaya politik oportunis, kasar dan perkauman sempit yang boleh menggugat keharmonian dan kamjuan negara ini.

TAGS