Blok politik ketiga tak beri kesan pada BN, kata MIC

Blok politik ketiga tak beri kesan pada BN, kata MIC

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Penubuhan blok politik ketiga gabungan PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) sama sekali tidak akan menjejaskan kekuatan Barisan Nasional (BN).

Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata BN tidak akan melihat kewujudan blok pembangkang baharu itu sebagai cabaran yang tidak boleh diatasi kerana BN sentiasa kukuh.

“Dalam politik, kewujudan kerjasama baharu dan perpecahan satu sama lain adalah perkara biasa. Apa yang penting, BN kukuh dan kerjasama parti komponen BN stabil sehingga hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan RM500 seorang dan sijil penghargaan kepada 59 pelajar India yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 di Ibu Pejabat MIC di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan dan Timbalan Presiden MIC Datuk Seri S. K Devamany.

Dr Subramaniam berkata BN mempunyai hubungan yang baik dengan masyarakat dan itu adalah ramuan bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan penubuhan permuafakatan baharu bersama Ikatan sebagai persediaan menghadapi PRU ke-14.

Dr Subramaniam turut menegaskan MIC sentiasa memberi sokongan penuh dan yakin terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri dan Pengerusi BN.

Dalam perkembangan lain, beliau yang Menteri Kesihatan berkata kementeriannya masih menunggu laporan penuh hospital bagi mengetahui punca kematian seorang pelatih Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di Segamat, Johor yang didakwa mati akibat strok haba.

“Saya masih menunggu laporan kerana mesti ada sebab tertentu seseorang itu meninggal dunia. Kita akan kaji sama ada ia kerana penyakit semula jadi atau terdapat punca lain, ” katanya.

Sementara itu, beliau juga menasihati semua penganjur aktiviti luar seperti maraton supaya menangguhkan segala aktiviti luar akibat cuaca panas kerana ia boleh mengundang risiko tinggi.

TAGS