Blues di Karai

Oleh BORHAN AHMAD

Melintasi Jambatan Iskandar di Kuala Kangsar untuk ke Sayong akan membawa pemikiran kita ke zaman tanahair berada di tangan penjajah. Bandar di Raja ini banyak tarikan pelancongnya seperti istana Iskandariah, Masjid Ubudiah, Madrasah Idrisiah, Kolej Melayu Kuala Kangsar, laksa dan cendol. Begitu juga keluaran kraf tangan labu yang dikenali sebagai sayong yang diambil sempena nama salah sebuah tempat pembuatannya. Banyak lagi jika hendak disenaraikan.

Kebanyakan pengunjung tertumpu ke dataran di pinggir Sungai Perak yang mempunyai pelbagai gerai dan kedai yang menjual barangan dan pelbagai. Jarang menjengah pemandangan desa-desa di pinggir pekan di raja itu meski ada jalanraya. Di Kuala Kangsar masih ada lagi istana raja dan pembesar, teratak lama, rumah kutai yang agam dan sederhana, pusara Dr. Zulkifli Muhamad dan isterinya. Ada rambutan, durian, kebun getah dan bendang. Sayangnya hanya orzang tua dan anak muda yang setia mengisi kampong lama yang terpinggir itu.

Jika berkeretapi dari Kuala Lumpur ke Kuala Kangsar akan melalui Stesyen Enggor (gambar) sebelum melintasi Jambatan Victoria yang dibina oleh Inggeris pada 1897. Namun tiada keretapi yang berhenti di situ ketika ini. Papan tanda batu di stesyen itu kekal tegak berdiri. Ia hanya menjadi latar belakang foto bagi merakamkan kenangan pengunjung ke situ.

Jambatan ini merupakan jambatan keretapi terpanjang di Asia selain di India yang dibina oleh Inggeris. Jambatan sepanjang 351 meter yang diperbuat daripada kerangka besi dengan enam tiang bata yang merintangi Sungai Perak. Ia menghubungkan pekan kecil Karai dengan kampong Seberang Karai.

Sejak 2002, jambatan tersebut tidak digunakan oleh keretapi kerana satu jambatan baru dibina bersebelahan. Namun penduduk kampong dan pekan masih menggunakannya dengan motorsikal dan basikal. Malam itu, kami menginap di sebuah hotel ala tradisional di tepi jambatan untuk menikmati panorama Kuala Kangsar dan sekitarnya. Paginya kami dihidangkan sarapan ala Inggeris.

Jambatan itu menjadi daya tarikan pelancong luar dan tempatan. Ia mungkin salah satu kesan dari ‘colonialism of history’ dan romantisisme masyarakat tempatan. Segala binaan atau monumen tinggalan penjajah dianggap sebagai sejarah. Bangunan lama seperti penjara, balai polis atau apa jua instituisi penguasaan penjajah samada dari segi politik, ekonomi dan sosial dianggap ‘bersejarah’.

Jambatan Victoria wajar dilihat sebagai upaya pemodenan oleh Inggeris dengan mengaut kekayaan hasil bumi negeri terutama bijih timah. Pekan Karai-Enggor patut juga dilihat suatu demografi yang menghakis keaslian kampong Melayu di tepi Sungai Perak kesan dari pembangunan yang dibawa oleh Inggeris.

Inggeris secara rasminya campur tangan pentadbiran di negeri Perak pada 1874 selepas Perjanjian Pangkor antara Sultan Abdullah dengan Sir Andrew Clarke. Sesuai dengan hasrat Sultan Abdullah bagi mendapat nasihat bagi membangunkan negeri baginda, Inggeris giat memajukan sektor ekonomi dan menyediakan prasarana bagi membangunkan negeri yang dibawah perlindungannya.

Antaranya pembinaan jalinan perhubungan yang melibatkan jalan raya, landasan keretapi dan juga lapangan terbang. Selepas sebelas tahun Inggeris mentabdir negeri Perak, mereka membina landasan keretapi pertama dari Taiping ke Port Weld pada 1885. Landasan dibina bagi memudahkan pengangkutan bijih timah untuk dieksport. Rancangan ekonomi Inggeris memang cekap, konsisten dan memanfaatkan sumber tempatan dengan bijak.

Inggeris membawa falsafah ekonomi kapitalis yang mementingkan nilai komersil. Sesuai Perak sebagai negeri pengeluar bijih terbesar ketika itu, Inggeris memberi tumpuan pembangunan di negeri ini. Antaranya dengan pembinaan Jambatan Victoria (gambar atas)  yang memakan perbelanjaan 325 ribu dollar. Inggeris membawa pakar dan juruteranya bagi membina jambatan besi ini.

Itu sebahagian pelaburan Inggeris demi keuntungan ekonomi yang berganda dan faedah politik mereka. Orang tempatan menumpang rasa bangga dan seronok memiliki satu binaan yang gah dan bermanfaat buat mereka. Dengan jambatan itu, tidak perlu lagi bersampan untuk menyeberang Sungai Perak untuk ke seberang.

Setelah siap, jambatan itu diberi nama bersempena nama ratu mereka, Queen Victoria dan kekal nama itu hingga kini. Namun Sultan Perak yang memerintah negeri Perak ketika itu, nama baginda diabadikan setelah Inggeris membina sebuah lagi jambatan untuk kenderaan biasa pada 1928. Jambatan itu tidak jauh daripada Jambatan Victoria.

Pekan Karai-Enggor kini bagai pekan kehilangan koboi. Ada lebih kurang 20 pintu rumah kedai yang sepi. Kadangkala kesunyian pekan itu dipecah dengan gelak ketawa dari warung di tepi jalan. Warung menjadi tempat orang kampong meluahkan perasaan dan keluhan. Di situ ramai yang setia mendengar dan menadah telinga.

Salah satu kedai yang ada di situ adalah pusat pengumpulan getah-getah sekerap daripada penoreh-penoreh getah tempatan. Bau getah sekerap itu mengingatkan zaman kecil kami di kebun getah. Di pekan itu ada kedai runcit, hardware, perabut tetapi kebanyakan pintu kedai ditutup. Mungkin sudah tiada perniagaan dijalankan.

Karai-Enggor merupakan kawasan perlombongan arang batu suatu ketika dahulu. Ramai pedagang dan pendatang mengadu nasib di daerah bangsawan ini. Bangsawan terus kekal berada pada kedudukan mereka melalui kedudukan mereka dalam masyarakat feudal. Masyarakat bawahan dan marhean terus membanting tulang empat kerat keluar daripada kepompong kemiskinan dan kemunduran. Ada yang berjaya mampu. Ada yang sekadar mampu memandang dari kejauhan makna pembangunan dan kemajuan.