Malaysia Dateline

BMI ustaz pun di luar kawalan, warganet kecam pemimpin Pas pasal gula

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasruddin Hassan seolah-olah sengaja mengundang kecaman warganet apabila memuat naik hantaran berkenaan bahaya gula.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu mulanya dilihat ingin mengaitkan dengan fenomena ‘sugar daddy’ membabitkan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

“Gula sangat tidak baik untuk kesihatan. Tidak kiralah buku gula ke, bayi gula ke, ayah gula ke… semua kena elakkan agar kita selamat.

“Ibu gula lagi bahaya,” kata bekas Ahli Parlimen Temerloh tersebut menerusi hantaran di Facebook tengah hari tadi.

Walau bagaimanapun, dia mungkin terlupa keadaan fizikalnya yang turut berkaitan dengan kiraan indeks jisim badan (BMI) dan paras gula dalam darah.

“BMI ustaz pun di luar kawalan. Ustaz kena kawal pengambilan gula. Bukan sekadar berpesan tapi kena beramal,” tempelak Mazuan Mansor.

Untuk rekod, angka BMI ‘normal’ adalah antara 18.5 dan 24.9 manakala BMI antara 25.0 dan 29.9 menunjukkan berlebihan berat badan serta nilai lebih daripada 30 sudah mengalami masalah obesiti.

Ada juga warganet yang mengusik kemungkinan Nasruddin, 51, ingin menjadi kurus seperti Ahli Parlimen Titiwangsa merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, 47.

Paling ramai menyindir Nasruddin dengan mengaitkan kelantangan Pas sebelum bergelar kerajaan termasuk isu pembentangan Rang Undang-Undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 (RUU 355).

“Gula-gula Pas RUU 355 itu baik ke tak baik Din?” soal sinis Jeming Hassan.

Trend obesiti di Malaysia ‘menggerunkan’ apabila hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendapati 50.1 peratus daripada orang dewasa tidak memiliki berat badan yang sepatutnya.

Mereka sama ada berlebihan berat badan atau obes di mana 30.4 peratus adalah berlebihan berat badan manakala 19.7 peratus adalah obes.

Data NHMS 2019 turut memperincikan tiga golongan tertinggi yang berhadapan masalah berlebihan berat badan atau obes iaitu perempuan (54.7 peratus), etnik India (63.9 peratus) manakala lingkungan umur paling tinggi adalah golongan berusia 55-59 tahun (60.9 peratus).

Sementara itu, pengambilan gula berlebihan juga meningkatkan risiko kepada penyakit kencing manis atau diabetes.

Pada masa ini, Malaysia dikatakan mempunyai jumlah penghidap diabetes yang tertinggi di Asia dan antara yang tertinggi di dunia selepas Arab Saudi.

Tinjauan NHMS 2019 juga menganggarkan 3.9 juta atau 18.3 peratus penduduk berumur 18 tahun ke atas menghidap diabetes, meningkat ketara berbanding 13.4 peratus pada 2015 dan 11.2 peratus (2011).