BMW dari Singapura kantoi isi RON95, tindakan pekerja pam minyak ini buat ramai puas hati

Oleh KIM SYAZIE

Tindakan seorang pekerja stesen minyak menggagalkan cubaan kenderaan bernombor plat Singapura dari mengisi minyak bersubsidi negara ini mendapat perhatian ramai.

Orang ramai berpuas hati melihat pekerja berkenaan menarik semula pam minyak dari kenderaan tersebut yang cuba mengisi RON95.

Dalam satu rakaman tular di Facebook ROADS.sg, sebuah kenderaan jenis BWM dilihat sedang mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Johor Bahru.

Kejadian difahamkan berlaku pada 7 April lalu, namun cubaan pemilik kenderaan itu berjaya dipatahkan.

RON95 adalah petrol bersubsidi yang hanya dikhaskan untuk rakyat Malaysia sahaja.

Kebanyakan stesen minyak kini sudah pun meletakkan gegantung atau pelakat pada pam, tertera amaran bahawa ia adalah milik rakyat Malaysia dan tidak dibenarkan diguna oleh kenderaan asing.

Kes kenderaan dari Singapura yang mengisi minyak bersubsidi bukanlah isu baharu. Ia sering dibincangkan secara terbuka di media sosial.

Rakyat Malaysia juga tidak berpuas hati sekiranya hak mereka dicuri orang luar.

Kerajaan menanggung kerugian yang tinggi akibat penyelewengan minyak bersubsidi ini.

Atas sebab itu, kerajaan dijangka melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun ini dengan satu mekanisme terbaik bakal dikenal pasti bagi memastikan manfaatnya sampai kepada kumpulan sasar.

Baca juga: Riena Diana ludah muka Faizal Hussien, dedah babak dipotong dalam drama Bidaah