BN abai kebajikan polis, kata Hanipa Maidin

BN abai kebajikan polis, kata Hanipa Maidin

Polis tidak harus lagi mengundi BN memandangkan parti pemerintah itu gagal menjaga kebajikan anggota keselamatan tersebut yang berdepan dengan kos sara hidup tinggi, tegas Hanipa Maidin (Amanah-Sepang).

 

Hanipa Maidin

Polis tidak harus lagi mengundi BN memandangkan parti pemerintah itu gagal menjaga kebajikan anggota keselamatan tersebut yang berdepan dengan kos sara hidup tinggi, tegas Hanipa Maidin (Amanah-Sepang).

Beliau ketika mencelah perbahasan Datuk Nur Jazlan Mohamed (BN-Pulai) di Dewan Rakyat semalam berkata, Timbalan Menteri Dalam Negeri itu seperti menyalahkan polis berhubung kemelut hutang yang tinggi.

“Jawapan menteri seolah-olah polis berhutang ini di kandang salah sedangkan laporan akhbar oleh (Gabenor) Bank Negara (Malaysia), Datuk (Seri) Muhammad Ibrahim (memberitahu) paras hutang adalah 89 peratus daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) antara tertinggi di Asia.

“Kalau ikut KSU (Ketua Setiausaha), masalah keberhutangan yang tinggi bukan sahaja berlaku pada polis tapi juga pada penjawat awam. Saya tidak dengar langsung jawapan menteri tentang kos sara hidup yang tinggi,” ujarnya.

Ketua Biro Undang-undang Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, isu hutang yang membelenggu polis dibimbangi akan mendorong mereka terjebak kepada perkara negatif tetapi beliau turut mengingatkan anggota keselamatan itu tidak harus dipersalahkan sepenuhnya.

“Kita merasakan bahawa kalau polis berhutang tinggi, ini satu yang bahaya, boleh membawa kepada rasuah dan sebagainya.

“Kerajaan adakah terfikir untuk mengenakan pengecualian GST (cukai barang dan perkhidmatan) kepada polis?” soalnya.

Sehubungan itu, Hanipa menyeru golongan polis supaya melakukan perubahan undi dengan menyokong Pakatan Harapan.

“Saya harap polis selepas ini tidak lagi sokong BN. Selalunya, polis ini pengundi tegar BN. BN telah gagal. Kita harus buat perubahan. Sokong Pakatan Harapan,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Jazlan dalam reaksinya mengaitkan faktor gaya hidup anggota polis terutama golongan muda sebagai punca mereka mengalami krisis kewangan.

“Keinginan melebihi pendapatan yang dimiliki. Walaupun jumlah polis berhutang tidak mencapai tahap serius tapi kita mengambil pendekatan awal seperti kaunseling.

“Sekarang ini kita kena ambil tindakan tegas termasuk memberhentikan kerja. Kalau mahu jadi anggota polis kenalah berdedikasi , berintegriti,” kata Jazlan lagi.

TAGS