Malaysia Dateline

BN akan cadang nama Pengerusi baharu PAC ganti Ronald Kiandee

Barisan Nasional (BN) akan mencadangkan calon lain bagi menggantikan Datuk Seri Ronald Kiandee sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) susulan tindakan pemimpin dari Sabah itu keluar Umno semalam.

Bercakap pada sidang media semalam Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ini kerana manifesto Pakatan Harapan (PH) menyatakan jawatan pengerusi PAC dikhaskan kepada anggota Parlimen daripada pembangkang.

Kiandee, selaku Anggota Parlimen Beluran, dilaporkan berkata beliau pula tidak boleh meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PAC walaupun sudah membuat keputusan meninggalkan Umno sehingga Parlimen membuat keputusan lanjut berhubung perkara itu.

Kiandee adalah antara enam Ahli Parlimen, sembilan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun), dua senator dan 21 Ketua Umno Bahagian negeri yang meninggalkan parti pada semalam, sekali gus menjadikan ia hampir lumpuh di Sabah.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata kerusi Parlimen Cameron Highlands tetap milik MIC untuk ditandingi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kelak.

MIC pada Rabu dilaporkan berkata ia tidak akan merayu terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang mengisytiharkan kemenangan calon BN dari MIC, Datuk C. Sivarraajh, bagi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-14 adalah terbatal dan tidak sah kerana berlaku amalan rasuah.