BN akan kekal berkuasa jika PH pinggirkan Pas, kata IRF

BN akan kekal berkuasa jika PH pinggirkan Pas, kata IRF

Umno dan Barisan Nasional (BN) akan terus kekal berkuasa dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sekiranya Pakatan Harapan meminggirkan Pas, kata Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF)Datuk Dr Ahmad Farouk Musa.

Beliau  berkata demikian kerana hingga ke saat ini, Pas mempunyai penyokong komited dan tegar.

“Tidak ada mana-mana penyokong parti di Malaysia yang sanggup korbankan masa, wang dan tenaga untuk parti melainkan penyokong Pas.

“Mana ada orang akan panjat pokok kelapa untuk pasang bendera melainkan penyokong Pasdan mereka tidak lakukan itu demi wang,” katanya seperti dilapor FMT.

Datuk Dr Ahmad Farouk Musa  Farouk menjelaskan selagi pergelutan kerusi berlaku antara PH dan Pas, selagi itulah blok pembangkang tidak mampu menewaskan BN.

“Jika dilihat secara praktikal, tidak. Mustahil Amanah mampu membawa perubahan dalam PRU14.

“Bagi saya Umno akan terus kekal berkuasa dalam PRU14. Walaupun ia diadakan sekarang atau dua tahun lagi.

“Masa terlalu suntuk, dan selagi Pas berkecuali dan berlaku tiga penjuru, selagi itulah tidak akan ada kemenangan di pihak pembangkang,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, menyeru “gencatan serangan” dilakukan supaya fokus dialihkan kepada musuh sebenar iaitu BN.

Kenyataan itu disambut baik pemimpin tertinggi PKR, Datuk Seri Azmin Ali yang bersedia menyediakan ruang perbincangan meja bulat buat semua parti-parti pembangkang yang komited kepada agenda perubahan termasuk Pas.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin dari Amanah dan DAP berhati-hati dengan kenyataan Tuan Ibrahim, sebaliknya mahu pendirian rasmi yang jelas yang turut melibatkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.