Malaysia Dateline

BN bakal bincang kedudukan Muhyiddin

Barisan Nasional (BN) akan membincangkan bersama ahli-ahli Parlimen parti itu berhubung keperluan untuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan.

Bendahari Agung BN yang baharu dilantik 23 Oktober lalu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau akan mendapatkan pandangan daripada rakan-rakannya dalam parti berhubung perkara tersebut nanti.

“Itulah yang kita akan bincangkan,” katanya ringkas kepada media di Lobi Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab persoalan sama ada Muhyiddin perlu meletakkan jawatan selepas gagal meyakinkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytihar darurat.

“Saya mahu dengar pandangan BN dahulu,” tambah Menteri Luar Negeri itu.

Pada masa sama, Hishamuddin juga ditanya sama ada Umno akan terus kekal bersama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata: “Saya tak tahu. Kita kena tunggu perjumpaan Umno.”

Majlis Tertinggi parti itu akan mengadakan perbincangan pada malam ini.

Terdahulu, Hishammuddin bersama beberapa lagi rakannya dalam Kabinet iaitu Khairy Jamaluddin, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Halimah Saddique tiba di PWTC selepas menghadiri mesyuarat Kabinet di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Ahli-ahli Parlimen lain mengambil pendekatan ‘mengunci mulut’ daripada menjawab pertanyaan media yang telah berkumpul sejak pukul 12 tengah hari tadi.

Untuk rekod, Umno, MCA dan MIC mempunyai 42 kerusi Parlimen berbanding Bersatu yang diterajui Muhyiddin dengan hanya 31 kerusi Parlimen.