BN buat kejutan besar di Tanjung Piai

BN buat kejutan besar di Tanjung Piai

Barisan Nasional (BN) membuat kejutan besar apabila merampas semula kerusi Parlimen P.165 Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 undi.

Calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng yang juga Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu meraih 25,466 undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan penghujung Benua Asia itu.

Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal bermula 2008 itu menewaskan pencabar utamanya, Karmaine Sardini yang memperoleh 10,380 undi.

Sementara itu, calon Gerakan yang diwakili Wendy Subramaniam mendapat 1,707 undi; calon Berjasa, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (850 undi) serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock (380 undi) dan Faridah Aryani Abd Ghaffar dengan 32 undi.

Keputusan rasmi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada jam 9.16 malam itu menyaksikan sebanyak 595 undi ditolak dengan peratusan keluar mengundi mencecah 74.43 peratus.

Pengundi biasa telah membuang undi siang tadi di 125 saluran mengundi iaitu masing-masing 60 dan 65 saluran di N.55 Pekan Nanas dan N.56 Kukup.

Dalam pertembungan tiga penjuru pada PRU-14 tahun lalu, Wee mendapat 20,731 undi, Nordin Othman dari Pas (2,962 undi) manakala Allahyarham Dr Md Farid yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai memperoleh 21,255 undi iaitu menang dengan majoriti tipis 524 undi.

PRK Tanjung Piai ialah PRK yang kesembilan, selepas PRU-14 pada 9 Mei tahun lalu.

PRK sebelum ini di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia, Semenyih dan Rantau, manakala PRK bagi kawasan Parlimen pula ialah Cameron Highlands, Port Dickson dan Sandakan.