Malaysia Dateline

BN hanya akan laksana lebih banyak program kebajikan selepas PRU14

Barisan Nasional (BN) mahu menjalankan lebih banyak program bantuan dan kebajikan jika diberi mandat untuk kekal menerajui kerajaan pada pilihan raya umum akan datang, kata Pengerusi Biro Kebajikan Umno Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (foto) semalam.

Beliau berkata selama ini BN telah membuktikan keupayaannya membantu dan mendengar keluhan rakyat tanpa mengira latar belakang.

Tidak tentu lagi pembangkang akan dapat melaksanakan usaha sebegini jika mereka pula diberi mandat. Jangan kita ambil risiko, katanya kepada pemberita selepas Program Umno Bantu Rakyat 2.0 di Beaufort, Sabah, semalam.

Pada program itu, seramai 1,000 orang menerima bantuan sumbangan Umno manakala 1,000 pelajar masing-masing menerima RM100 untuk membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid, yang juga Pengerusi Biro Kebajikan Umno Sabah dan Ketua Umno Bahagian Beaufort Datuk Isnin Aliasneh.

Shamsul Anuar turut melawat dan menyampaikan bantuan kepada seorang penduduk yang hilang penglihatan di Kampung Rancangan Klias dekat sini.

Rafidah Kalong, 44, berkata dia hilang penglihatan secara tiba-tiba ketika sedang bekerja di sebuah restoran kira-kira dua tahun lalu.

Doktor juga tidak tahu bagaimana saya boleh jadi buta, kata ibu kepada empat anak itu.

Sementara itu suaminya, Johari Samin, 46 meluahkan rasa terharu dengan keprihatinan Biro Kebajikan Umno yang datang melawat dan memberi bantuan kepada isteri dan keluarganya.