BN hilang wibawa memimpin negara, kata PH Perak

BN hilang wibawa memimpin negara, kata PH Perak

 

Pakatan Harapan Perak dalam satu kenyataan berpendapat dasar ‘Kepimpinan Melalui Teladan’ sudah tidak lagi relevan di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Dasar yang diperkenalkan dan dilaksanakan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah satu dasar yang unggul untuk memastikan pemimpin-pemimpin negara menunjukkan teladan yang baik kepada seluruh rakyat yang dipimpin.

Kepimpinan ini meliputi pelbagai aspek seperti integriti, ketelusan, kebertanggungjawaban, budaya kerja, sikap kecemerlangan dan sebagainya.

Bagaimanapun dalam kenyataan bersama Pakatan Harapan Perak itu berkata, hari ini rakyat tidak boleh menjadikan pemimpin-pemimpin BN sebagai teladan kerana diselubungi dengan pelbagai skandal rasuah, keborosan dan ketirisan.

“Integriti pemimpin-pemimpin Barisan Nasional telah terhakis.

“Hari ini, mereka hanya mementingkan jawatan, pangkat dan jaminan politik supaya terus kekal berkuasa untuk membolot kekayaan negara.

“Slogan ‘Rakyat Didahulukan’ juga adalah retorik semata-mata. Rintihan dan kesengsaraan rakyat tidak dipedulikan lagi,” ujar kenyataan itu.

Kenyataan Pakatan Harapan Perak itu juga turut menyebut BN bermati-matian untuk menyelamatkan pencuri-pencuri yang terlibat dalam skandal 1MDB dan mendakwa, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut bersubahat dalam menyelamatkan pemimpin-pemimpin yang terlibat.

“Peguam Negara bertindak seolah-olah buta perut dalam hal ini. Speaker Dewan Rakyat pula telah bersungguh-sungguh membisukan ahli-ahli Parlimen daripada membahaskan skandal tersebut.
“Institusi Parlimen telah dicemar dan dihina oleh ketua legislatif itu sendiri untuk melindungi ketua eksekutif negara.

“Maka, jelas di sini bahawa pemimpin-pemimpin Barisan Nasional sudah tidak layak lagi untuk dicontohi. Negara kita memerlukan pemimpin-pemimpin baru yang bersih dan amanah serta mempunyai kewibawaan untuk mengurus tadbir negara dengan cekap,” ujar kenyataan itu.

9.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS