BN Kelantan nafi berkomplot dengan Husam jatuhkan MB

BN Kelantan nafi berkomplot dengan Husam jatuhkan MB

Setiausaha Perhubungan Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Hanafi Mamat menafikan parti itu terlibat dalam gerakan menjatuhkan Menteri Besar Datuk Ahmad Yaakob menerusi undi tidak percaya.

Beliau berkata tuduhan Adun Salor Datuk Husam Musa sebagai tindakan terdesak malah tidak ada Adun BN yang terlibat dalam gerakan menjatuhkan Menteri Besar Kelantan itu.

Tambahnya lagi, BN tidak pernah berminat mencampuri perbalahan Husam dan masalah dalaman parti Islam di negeri itu sebaliknya hanya memberi fokus untuk mengambil alih pemerintahan kerajaan PAS Kelantan pada PRU14 nanti.

“Kita menafikan tuduhan Husam dan setakat UMNO Kelantan tahu, tidak ada ADUN yang terlibat dalam mana-mana gerakan menjatuhkan MB Kelantan,” katanya seperti dilapor portal FMT hari ini.

Hanafi turut menyifatkan Husam mengaitkan BN bagi menjayakan dendamnya kepada kerajaan negeri selepas hilang sokongan di Kelantan akibat baru sahaja dipecat dari Pas.

“Husam perlahan-lahan hilang pengaruh di Kelantan, sebab itu beliau sudah terdesak mengheret BN bagi menjayakan agenda dendamnya. Kita tidak perlu masuk perangkap,” katanya seperti dipetik.

Husam sebelum ini mendakwa wakil rakyat BN menawarkan diri untuk membantu beliau dan Adun lain di negeri itu untuk menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob menerusi undi tidak percaya.

Namun, beliau menolak tawaran tersebut kerana tidak mahu membangkitkan kemarahan rakyat Kelantan.

TAGS