Malaysia Dateline

BN mahu PN hormat kedudukan sebagai parti lama

Parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) perlu menghormati kedudukan BN sebagai parti yang mempunyai kerusi terbanyak ketika rundingan agihan kerusi menjelang PRU15.

Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa berkata, parti itu sentiasa bersikap terbuka dan bertanggungjawab terhadap sebarang rundingan berhubung isu agihan itu, selagi prinsip perjuangannya dihormati.

“Kita mahu parti-parti (dalam PN) hormat kedudukan kita sebagai sebuah parti yang bukan sahaja lama, tapi juga besar dan memberikan kita peranan yang bersesuaian dengan kedudukan kita.

“BN akan terus lakukan libat urus dengan banyak lagi pihak menjelang PRU15, mengambil sikap keterbukaan dengan banyak parti politik terutama 12 parti politik dalam gabungan kerajaan PN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan perhimpunan agung Parti IPF ke-28, di Dewan Tan Sri Haji Ghazali, Slim River di Tanjung Malim, malam tadi.

Berkenaan rundingan mengenai agihan kerusi dalam BN, kata Annuar hal itu telah selesai, manakala di peringkat Muafakat Nasional (MN) yang terdiri daripada parti itu sendiri, Bersatu dan PAS belum lagi selesai.

“Dengan MN belum 100 peratus selesai, selagi belum PRU15. Tapi sekurang-kurangnya daripada segi prinsip asal MN telah ada kesepakatan, cuma kita belum mulakan rundingan terperinci dengan Bersatu,” tambah Annuar lagi.