Malaysia Dateline

BN masih dipilih jika Ketua Menteri boneka yang sama dikitar semula?

Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Najib Razak berkata, Ab Rauf Yusoh (gambar atas) yang bertanding di DUN Tanjung Bidara bukan merupakan calon Ketua Menteri Melaka.

Katanya, BN hanya mencalonkan Sulaiman Md Ali yang bertanding di DUN Lendu sebagai Ketua Menteri jika BN berjaya memenangi PRN Melaka, 20 November ini.

Kenyataan Najib ini sebagai menolak khabar angin yang bertebaran yang mengatakan Ab Rauf turut bersaing dengan Sulaiman bagi merebut jawatan tersebut.

Sulaiman adalah Ketua Menteri sebelum ini sehinggalah kerajaan negeri dijatuhkan berikutan empat Adun menarik sokongan terhadapnya.

Dengan penjelasan Najib ini bermakna Sulaiman akan dinamakan sekali lagi untuk mengetuai pentadbiran kerajaan negeri Melaka seandainya BN berjaya memenangi pilihanraya.

Maka, untuk apa pula Ab Rauf diletakkan sebagai calon pilihan raya?

Antara isu besar mengapa empat Adun yang diketuai Idris Haron menarik sokongan sehingga kerajaan negeri tumbang sebelum ini adalah kerana Sulaiman didakwa hanya ketua kerajaan negeri boneka kepada Ab Rauf.

Dikatakan banyak perkara melibatkan kerajaan negeri tidak dapat diputuskan oleh Sulaiman kerana beliau didakwa perlu merujuknya terlebih dahulu kepada Ab Rauf.

Ab Rauf adalah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka dan Speaker DUN Melaka. Di dalam Umno Masjid Tanah di mana Ab Rauf adalah Ketua Bahagian, Sulaiman pula adalah Setiausaha bahagian tersebut.

Dengan kedudukan itu, Sulaiman sentiasa terkepung oleh jawatan dalam parti yang lebih tinggi yang dipegang Ab Rauf dan seterusnya beliau didakwa sebagai ketua kerajaan negeri yang gagal berfungsi dengan sewajarnya.

Jadi, jika Sulaiman lagi yang dipilih sebagai Ketua Menteri, apa beza keadaannya dengan sebelum beliau dijatuhkan dulu?

Tidakkah beliau nantinya akan terus berada di bawah Ab Rauf dan mungkin terus dikuasai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka itu sebagaimana banyak dakwaan bertebaran sebelum ini?

Dalam hal ini, Sulaiman hanya mungkin dapat membebaskan diri daripada dikuasai Ab Rauf jika setelah dipilih sebagai Ketua Menteri nanti, beliau turut dinamakan sebagai Pengerusi baru Badan Perhubungan Umno Melaka.

Cuma, bersediakah Zahid Hamidi selaku Presiden Umno melakukan perubahan sedemikian?

Jika tidak, menjadikan semula Sulaiman sebagai Ketua Menteri tiada makna apa-apa, malah seperti kembali kepada keadaan asal sebelum ini.

Kata orang – wal hasil balik asal dan tiada sebarang perubahan ditawarkan kepada pengundi Melaka.

Sedemikian, kalau Ketua Menteri boneka yang sama lagi dimunculkan untuk mentadbir Melaka, adakah pengundi sedia memberi undi mereka kepada BN?