BN menang besar Dun Rantau

BN menang besar Dun Rantau
Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan memeluk Datuk Seri Mohamad Hassan sebaik diumumkan menang di PRK Rantau oleh SPR

Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Rantau dengan majoriti besar iaitu 4,510 undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini.

Timbalan Presiden Umno itu mendapat 10,397 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) , Dr S Streram, 64, yang hanya mengaut 5,887 undi.

Dua calon Bebas, Malarvizhi Rajaram, 51, mendapat 83 undi manakala dan Mohd Nor Yassin 79 undi.

Keputusan diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Dun Rantau pada pukul 8.45 malam di Pusat Penjumlahan Undi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua hari ini.

SPR berkata, jumlah undian oleh pemilih ialah sebanyak 16,446 orang, undi ditolak 146, kertas undi tidak dikembalikan sebanyak empat dan peratusan keluar mengundi sebanyak 79.31 peratus.

Turut hadir meraikan kemenangan BN ialah kesemua pimpinan komponen BN serta Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Mohamad dan Takiyuddin berpelukan di atas pentas sejurus keputusan diumumkan.

Kemenangan calon BN selepas mencatat kejayaan sama dalam PRK Parlimen Cameron Highlands dan Dun Semenyih itu disambut dengan laungan takbir dan ‘hidup BN’.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Mohamad yang mesra dipanggil Tok Mat menang tanpa bertanding selepas Dr Streram gagal menyerahkan borang pencalonan pada 9 Mei 2018.