Malaysia Dateline

BN minta polis siasat kekecohan di Pos Lenjang, kata Wan Rosdy

Barisan Nasional (BN) Pahang menyerahkan kepada polis untuk menyiasat insiden kekecohan di penginapan Umno Rompin di Pos Lenjang, Kuala Lipis semalam.

Menteri Besar Pahang yang juga Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata laporan polis berhubung insiden itu telah dibuat oleh calon BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor.

“Perkara ini sekarang dalam tindakan polis jadi kita tunggu lah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Puncak Arabella di hari ini.

Wan Rosdy berkata situasi masih terkawal dan beliau tidak menjangkakan sesuatu yang lebih buruk akan terjadi.

Hari ini tular di laman sosial laporan polis yang dibuat oleh dibuat Ramli berhubung insiden itu pada jam 3.42 pagi tadi.

Dilaporkan, sebuah video yang menunjukkan penginapan UMNO Rompin di Pos Lenjang didatangi Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli yang juga Naib Pengerusi DAP Tengku Zulpuri Shah Raja Puji bersama beberapa individu yang didakwa tidak berpuas hati selepas jentera BN dikatakan ‘menangkap’ anggota Pakatan Harapan menggunakan kenderaan kerajaan untuk berkempen.

Video yang menunjukkan jentera BN bertelingkah dengan individu yang pakaiannya tertera logo PH itu bersama sebuah kenderaan yang mempunyai logo Jabatan Perhutanan Negeri Pahang di sebalik bendera Jalur Gemilang itu turut tular sejak semalam.

Dalam pada itu Wan Rosdy berkata BN tidak gentar dengan kunjungan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijadualkan pada 25 Jan ini.

“Kita serah kepada rakyat untuk menilai, Tun (Dr Mahathir) dia perdana menteri, dia boleh datang mana-mana pun,” katanya.

PRK berkenaan diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov lepas mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi kerusi parlimen itu terbatal dan tidak sah.

PRK parlimen Cameron Highlands menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan dan Barisan Nasional serta dua calon bebas.

PH meletakkan M.Manogaran yang juga timbalan pengerusi DAP Pahang manakala BN diwakili Ramli yang merupakan bekas polis. Dua calon bebas ialah bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib dan petani Wong Seng Yee.