Malaysia Dateline

BN nafi MP mereka sokong Mahiaddin

Barisan Nasional (BN) menafikan dakwaan kononnya Ahli Parlimen mereka menyokong kerajaan pimpinan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

Setiausaha Eksekutif, Mohamad Sahfri Ab Aziz berkata, sebarang kenyataan rasmi BN hanya dikeluarkan melalui Pengerusi atau pun Setiausaha Agung parti.

“Ibu Pejabat Barisan Nasional menafikan kewujudan surat yang menggunakan logo dan alamat pejabat parti seperti yang tersiar dan tular ketika ini.

“Sebarang kenyataan rasmi parti hanya dikeluarkan melalui Pengerusi atau pun Setiausaha Agung parti dan hanya dikeluarkan melalui saluran rasmi komunikasi parti,” jelasnya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendakwa Ahli-Ahli Parlimen BN sebulat suara menyokong kerajaan pimpinan Mahiaddin.

Naib Presiden Umno itu berkata, hal tersebut dicapai selepas beliau mempengerusikan satu perjumpaan bersama 40 Ahli Parlimen BN, hari ini.

Beliau berkata, perjumpaan itu turut sepakat menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Ahli-ahli Parlimen BN juga akur dengan titah Seri Paduka untuk memberikan keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera itu memaklumkan kerajaan yang diterajui Perikatan Nasional (PN) masih mendapat sokongan melebihi 110 ahli Parlimen.

Kenyataan tersebut susulan titah Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan.

Untuk rekod, Pengerusi dan Setiausaha Agung BN, iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Ahmad Maslan umum diketahui sejak awal menolak kepimpinan Mahiaddin sebagai Perdana Menteri.

Sebanyak 38 daripada 40 Ahli Parlimen BN merupakan Ahli Parlimen Umno.