BN Perak lakukan proses pemutihan ahli dan penyokong

BN Perak lakukan proses pemutihan ahli dan penyokong

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Barisan Nasional (BN) Perak akan melakukan proses pemutihan bagi mengenalpasti jumlah sebenar ahli dan penyokong parti itu di Kuala Kangsar yang dapat keluar mengundi pada pilihan raya kecil 18 Jun ini.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir berkata, mereka yang tidak keluar mengundi pada pilihan raya umum lalu bukanlah kerana memboikot calon BN tetapi lebih kepada dari segi proses pemutihan.

Menurut beliau, nama mereka masih ada di dalam senarai tetapi sebenarnya telah meninggal dunia dan mungkin yang tinggal di negeri-negeri lain seperti di Johor dan Pahang.

“Kita telahpun melihat jumlah sebenarnya berapa ahli parti dan berapa bilangan penyokong BN yang dulu tidak keluar mengundi dan bagaimana kita hendak memastikan supaya mereka dapat keluar dan mengundi kali ini.

“Kita akan mengenalpasti mereka ini dan kita akan juga membuat proses pemutihan ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada semalam lapor portal Suara Perak.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden Umno yang menyebut pada Pilihan Raya Umum ke-13, terdapat lebih 2,000 ahli Umno yang mempunyai jawatan dalam parti tidak mengundi.

 Zambry  berkata, beliau meminta jentera parti supaya mengelak daripada menggunakan pendekatan  yang dilihat merugikan BN.

“Rakyat tidak suka dengar cacian, tuduhan dan makian yang dilemparkan. Lebih-lebih lagi PRK kali ini berlangsung dalam bulan puasa.

“Paling penting, gerak kerja kita ini memerlukan kesepaduan dan tidak tersasar daripada pendekatan-pendekatan yang sudah dilakukan,” katanya seperti  dipetik sumber dari Sinar Harian online.

Beliau berkata, BN akan terus memfokuskan perkara yang membabitkan kepentingan rakyat selain menyediakan solusi dalam menangani masalah sedia ada di Parlimen berkenaan.

Katanya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah mengarahkannya untuk menjadi penyelaras sekali gus meneruskan perancangan yang disusun Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

“Kami juga akan melakukan proses pemutihan bagi mengenal pasti bilangan sebenar pengundi yang menyokong BN di kawasan tersebut.

“Ada dalam kalangan mereka yang tidak keluar mengundi itu bukan disebabkan memboikot calon BN tetapi lebih kepada proses pemutihan. Ada dalam kalangan nama itu sudah meninggal dunia atau bekerja luar dari Perak,” katanya.

Menurutnya, beliau berharap segala pendekatan yang digunakan akan berhasil sekali gus merealisasikan matlamat BN untuk mengekalkan kemenangan dalam PRK itu.

Ditanya tentang calon BN di PRK tersebut, Zambry berkata, pihaknya di peringkat negeri menyokong mana-mana calon yang akan dipilih.

“Timbalan Perdana Menteri sudah pun tekankan dalam pertemuan semua parti komponen dan kumpulan yang menyokong BN bahawa kita akan bersatu apabila seorang calon dinamakan,” katanya.

Tambahnya, semua pihak boleh membuat pelbagai spekulasi berhubung calon yang dipilih, namun keputusan akhir bergantung kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

TAGS