BN Perlis dinasihati muhasabah diri, biar bermaruah jangan derhaka

BN Perlis dinasihati muhasabah diri, biar bermaruah jangan derhaka

Pimpinan Umno dan BN Perlis diingatkan supaya muhasabah diri sempena bulan Ramadan yang mulia dengan membuang segala sifat ego dan kepentingan diri.

Demikian diingatkan oleh Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Bahagian Padang Besar, Izizam Ibrahim (gambar atas) dalam kenyataan yang dikeluarkannya hari ini.

Jelas beliau lagi, apa yang sedang berlaku di Perlis berpunca daripada tekanan pentadbiran yang bertukar.

Malah ujarnya, Perlis kini adalah negeri pembangkang serta memberi tekanan yang kuat kepada BN bagi mentadbir negeri tersebut.

“Pihak Istana amat prihatin dan mengambil berat dalam menentukan siapa Menteri Besar (MB) yang akan menerajui negeri bagi mengimbangi pembangunan Perlis.

“Kita boleh menyaksikan betapa risaunya pihak Istana dalam isu pelantikan MB.

“Tuanku Raja Perlis lebih mementingkan rakyat berbanding siapa yang paling layak untuk mentadbir negeri,” katanya lagi.

Menurut Izizam lagi, semua pihak sedia maklum Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim telah menamakan adik beliau sebagai MB.

Shahidan Kassim semasa sidang media memecat MB baru dari Umno.

“Baginda Tuanku risau akan berlakunya MB boneka sepertimana kenyataan Tuanku kelmarin yang lebih mengenali siapa antara mereka sebagai pak turut.

“Sekiranya kita menilai tindak-tanduk mereka, maka akan dapat dilihat kelompok tersebut lebih setia kepada Pengerusi BN Negeri berbanding titah Tuanku yang menitahkan mereka untuk hadir ke majlis lantikan MB baru.

“Persoalan yang timbul bagi sebilangan besar rakyat negeri Perlis yang setia kepada Tuanku ialah kenapa golongan ini tidak akur titah Tuanku,” soal beliau.

Izizam juga berkata, kumpulan Adun BN tersebut telah mendukacitakan sebahagian besar pengundi apabila mereka lebih mementingkan individu pilihan Pengerusi BN daripada merafak sembah payung negeri.

Tegasnya lagi, rakyat Perlis dapat melihat sendiri akhlak dan kelakuan Adun BN tersebut di mana dalam senyuman mereka wujudnya derhaka.

“Secara peribadinya saya berpandangan bahawa ini adalah gerakan untuk menggulingkan MB yang tidak dipilih mengikut kehendak mereka.

“Walaupun MB dipilih dalam kalangan Umno dan BN sendiri, namun begitu mereka senantiasa tidak merestuinya kerana ketidakpuasan hati ketua mereka.

“Terlalu ketara kumpulan ini sanggup bersekongkol menolak lantikan MB yang mendapat perkenan Tuanku, ” katanya lagi.

Tuanku Raja Perlis semasa upacara angkat sumpah MB Perlis baru-baru ini.

Rentetan itu tambah beliau, perhitungan harus dibuat oleh rakyat Perlis dengan membuat penilaian adakah kumpulan yang bersama dengan Pengerusi BN Perlis benar-benar ikhlas untuk mentadbir negeri atau mereka hanya umpama patung hidup yang digerakkan oleh seseorang.

“Sebagai rakyat negeri Perlis, saya amat kesal dengan apa yang berlaku di Perlis tatkala ini.

“Hanya kerana kerakusan politik, kumpulan tersebut kuasa Tuanku ditolak mentah-mentah.

“Mereka seharusnya merenung dan muhasabah diri, siapalah kita sebenarnya jika tanpa Payung Mahkota Tuanku?” soalnya.

Oleh kerana itu katanya, polemik ini harus segera dihentikan dan cara yang terbaik ialah mengembalikan hak kepada rakyat untuk memilih sekali lagi kerana institusi Raja telah pun tercalar oleh pemberontak politik Perlis.

Katanya lagi, kepentingan individu tidak harus menjadi prioriti, sebaliknya kepentingan rakyat Perlis yang harus diberi keutamaan.

“Nasihat saya kepada kumpulan pemberontak tersebut ialah kembalilah kepada perjuangan asal di mana rakyat harus diutamakan.

“Jalankan tanggungjawab pada agama, bangsa serta negara dan tidak mengikut nafsu yang akan membinasakan maruah.

“Jadilah diri sendiri dan jangan diperalatkan oleh orang lain agar biar mati bermaruah dan jangan mati tinggal derhaka,” nasihat beliau dalam kenyataan tersebut.

6.0
OVERALL SCORE
: 6.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS