MCA salah guna jentera kerajaan untuk kempen

Chin Tong calon PH di Air Hitam kesal menteri guna JPJ untuk kempen di Air Hitam.

Pemimpin DAP terkejut dengan perbuatan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang tanpa segan-silu mempergunakan jentera agensi kerajaan, iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bagi kegunaan partinya.

Dalam satu majlis anjuran MCA di Yong Peng, Johor malam tadi, JPJ digunakan sebagai “outriders” atau pengiring kepada Liow and pemimpin-pemimpin MCA lain.

“Ia bukan majlis Kementerian Pengangkutan atau JPJ atau mana-mana badan kerajaan. Ia terang-terangan kempen politik MCA. Mengapa JPJ terlibat?” tanya Liew Chin Tong calon Pakatan Harapan (PH) di Air Hitam.

Kata Chin Tong, majlis malam tadi merupakan program untuk meraih sokongan kepada saingan beliau di Ayer Hitam, iaitu Datuk Seri Dr Wee Ka Siong serta pengumuman calon-calon MCA bagi mewakili Barisan Nasional dalam pilihanraya umum ke-14 ini.

“Kita semua tahu bahawa pada waktu-waktu biasa, jentera kerajaan dilarang digunakan untuk tujuan politik. Apatah lagi jika ia dilakukan sewaktu PRU.

“Saya mendesak Liow supaya menjelaskan tentang penggunaan jentera JPJ untuk kepentingan partinya, dan memohon maaf kerana telah menyalahgunakan amanah kerajaan,” katanya.

Beliau juga, kata Chin Tong, perlu berikrar kepada rakyat bahawa beliau tidak akan lagi menyalahgunakan kuasanya.

Bagi beliau, dalam mana-mana PRU, Liow dan semua calon yang bertanding adalah sama sahaja status mereka.