BN perlu letak calon MCA, kata Presiden MIC

BN perlu letak calon MCA, kata Presiden MIC

MIC mahukan calon BN daripada MCA pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang akan diadakan pada 16 November ini.

Presiden MIC, SA Vigneswaran dipetik Berita Harian berkata Umno tidak boleh merampas kerusi parlimen itu dan menegaskan persefahaman yang terbina antara Umno dan MCA di Tanjung Piai juga wajar dipertahankan.

“Jangan rampas kerusi Tanjung Piai kerana Pas sudah menyatakan pendirian untuk sokong calon MCA. Umno juga perlu membuktikan kerjasama dengan PAS bukan bermatlamat merampas kerusi parti komponen.

“Walau apa juga alasan, MIC mahu BN terus meletakkan calon MCA di kerusi itu,” katanya mengulas calon bagi PRK parlimen Tanjung Piai yang secara tradisinya ditandingi MCA.

Sementara itu, Vigneswaran juga dilaporkan berkata beliau yakin isu calon BN di kawasan parlimen itu akan dibincang dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang belum ditetapkan tarikhnya lagi.

“Kita tunggu keputusan BN. Saya pasti dan yakin BN akan membuat keputusan sewajarnya,” katanya.

Selanjutnya speaker Dewan Negara itu berkata BN wajar mengambil peluang membuktikan pembangkang mampu menerajui kerajaan yang dibentuk menerusi kepemimpinan pelbagai kaum dan agama.

Menurutnya, walaupun menyaksikan masyarakat Cina hanya mewakili kira-kira 42 peratus penduduk di kawasan itu, ia bukan semata-mata faktor utama dalam penentuan calon.

PRK itu diadakan susulan penyandangnya timbalan menteri di JPM Dr Md Farid Md Rafik meninggal dunia pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Ketua Bahagian MCA Tanjung Piai Wee Jeck Seng telah menyandang kerusi tersebut selama dua penggal sebelum tewas pada PRU14 kepada Dr Farid.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai mempunyai 53,528 pengundi pada PRU ke-14 dengan 57 peratus ialah pengundi Melayu, 42 peratus Cina dan India satu peratus India.

Sebelum ini timbul gesaan, antaranya daripada Umno Tanjung Piai sendiri supaya kerusi tradisi MCA itu ditandingi Umno dalam PRK kali ini.