Malaysia Dateline

BN pula enggan umum calon hari ini

Barisan Nasional (BN) memilih untuk tidak mengumumkan calonnya pada hari ini biarpun parti pembangkang tersebut sebelum ini dijadualkan akan memperkenalkan calonnya pada jam 4 petang tadi, di Tanjung Piai.

Malah, parti itu yang diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hanya melancarkan Majlis Pelancaran Jentera BN.

Namun, Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memaklumkan bahawa calon yang akan bertanding di P.165 merupakan anak tempatan.

“Walau apa pun, calon yang kita akan kemukakan nanti lebih baik daripada Allahyarham.

“Calon ini juga anak tempatan, tetapi Datuk Ir Hasni Mohamad mengarahkan saya untuk tidak mengumumkan calon hari ini. Presiden MCA, Dr Wee Kaa Siong juga tidak mengarah, tapi membisik jangan umum dulu.

“Walaupun mereka (PH) dah umum calon, kita sedikit lagi akan umumkan tapi kepimpinan Umno, MIC, BN, Pas, dan rakan-rakan mahu lihat dahulu adakah kita bersiap sedia menggerakkan jentera mengalahkan calon PH,” ujarnya.

Zahid berkata demikian dalam ucapannya semasa Majlis Pelancaran Jentera Parti Barisan Nasional, di Tanjung Piai hari ini.

Turut hadir, Ketua Wanita Umno, Datuk Noraini Ahmad; Ketua Pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri.

Hari ini, Pakatan Harapan (PH) memperkenalkan Karmaine Sardini sebagai calon yang akan dipertandingkan di Tanjung Piai.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Pengerusi PH Johor, mengetuai kepimpinan negeri dalam mengumumkan calon pilihan PH dalam majlis jam 2 petang tadi.

BN dilihat sehingga saat akhir berdolak-dalik mengenai calon pilihan mereka ekoran masih berbelah bahagi sama ada mahu menurunkan calon MCA atau Umno.

Bagaimanapun, MCA terus memberi isyarat BN akan menurunkan calon mereka dan nama yang diperkatakan adalah Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng.

Sementara itu, Pengarah Pilihanraya Jentera BN, Datuk Ir Hasni Mohamad turut menyifatkan desas-desus tersebut sebagai strategi parti untuk membuatkan pihak lawan ternanti-nanti.

“Sepatutnya, kita juga menamakan dan mengumumkan calon. Sebelah sana dah tertipu dengan kita.

“Dia kata nak umum calon 30 haribulan. Tapi bila dia dengar kita nak umum calon pada 28 haribulan pada jam empat petang, dia umum dulu pukul dua petang.

“Jadi, dia tertewas. Kita tak akan umum hari ini. Kita kena ada strategi yang betul,” ujar Hasni lagi.