BN sedar Najib bawa ‘malapetaka’, dakwa Amanah

BN sedar Najib bawa ‘malapetaka’, dakwa Amanah

Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa ketiadaan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menghiasi kempen Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar kali ini sebagai pelik.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata, tidak seperti lazimnya, wajah Najib biasanya akan digandingkan dengan calon BN di sepanjang jalan.

“Nak cari dua tiga gambar Najib pun susah.

“Mungkin berdasarkan risikan atau nasihat Umno BN, bawa gambar Najib adalah satu malapetaka yang boleh menyebabkan calon BN tewas,” katanya pada ceramah kelompok di Manong malam tadi.

Umno BN ujar Salahuddin, sedar bahawa Najib sekarang adalah beban kepada mereka dan perdana menteri itu tidak disukai rakyat ekoran terpalit pelbagai skandal termasuk bahana isu RM2.6 bilion berkait 1 Malaysian Development Berhad (1MDB).

“Sebab itulah wajah Najib ini letak mana-mana pun orang Umno tak setuju,” katanya.

Bagaimanapun, beliau hairan masih ada parti yang mahu berbaik dengan Umno walaupun sudah jelas segala kerosakan yang dilakukan oleh parti itu.

“Tiba-tiba ada parti nak berbaik dengan Najib, tak nak serang Umno.

“Yang peliknya minta undi dengan rakyat, bila menang, duduk main congkak dengan Umno,” katanya.

Kenyataannya itu dipercayai merujuk kepada Pas ekoran kenyataan ketua pemudanya Nik Abduh Nik Abdul Aziz bahawa parti itu bukan sahaja berniat malah berazam untuk bersatu dengan Umno.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berkata, parti itu tidak gopoh dalam usahanya untuk bergabung dan bekerjasama dengan Umno.

COMMENTS

Wordpress (0)