Malaysia Dateline

BN sedia kerjasama dengan pihak lain tubuh kerajaan Melaka

Barisan Nasional tidak menolak untuk menerima semula kerjasama dengan Bersatu dan Pas jika BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini dan berjaya membentuk kerajaan negeri.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan bagaimanapun berkata, gabungan itu tidak mahu lagi wujudnya satu keadaan di mana kerajaan sentiasa diugut keluar parti oleh mana-mana parti politik.

“Kalau (ada) rakan-rakan yang mahu bersama dengan kita, tiada isu. Lebih ramai lebih meriah, lebih ramai lagi baik, tetapi kita tidak mahu wujud satu keadaan di mana kita kerajaan sentiasa diugut setiap hari.

“Setiap hari, setiap pagi ketua menteri bangun tidur, dia memikirkan sama ada dia masih ada lagi majoriti ataupun tidak. Itu tidak baik,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan manifesto BN hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan mengenai sama ada BN akan kembali menerima Pas dan Bersatu jika BN memenangi PRN Melaka pada kali ini.

Sementara itu Mohamad yang juga dikenali sebagai Tok Mat berharap agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat mengkaji kembali prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan pada PRN kali ini agar parti-parti yang bertanding mempunyai sedikit ruang untuk berkempen kepada pengundi.

Beliau turut memahami bahaw kerajaan perlu mengenakan peraturan ketat dalam usaha bersama mengekang penularan Covid-19, namun katanya, demokrasi perlu dirai dan diamalkan.

“Kita faham tidak ada ceramah, tetapi takkanlah nak menghantar ‘handbill’ (risalah) ke rumah pun tak boleh. Tak boleh berjalan ‘walkabout’ (jelajah mesra) di pasar, di tempat kedai kopi. Saya minta supaya diberikan kelonggaran sikit kerana ia tidak memeriahkan pilihan raya dan kita juga faham kekangan yang dihadapi oleh kerajaan.

“Jadi saya harap supaya fikirkan baik-baiklah, SPR dan pihak kementerian-kementerian yang lain, fikirkan elok-elok supaya kita dapat mencapai suatu keadaan di mana kita tidak mengekang aktiviti untuk bergerak ketika pilihan raya ini,” katanya.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.