BN Selangor persoal kenapa projek Horas tidak disiapkan tampung bekalan air

BN Selangor persoal kenapa projek Horas tidak disiapkan tampung bekalan air

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Barisan Nasional (BN) Selangor mempersoal tindakan kerajaan negeri tergesa-gesa meluluskan pembinaan dua loji rawatan air (LRA) baharu sedangkan sepatutnya menyiapkan dahulu Sistem Pembesaran Sungai Hibrid (Horas) di Sungai Selangor untuk menampung bekalan air.

Ketua Penyelaras Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN Selangor Datuk Mat Nadzari Mat Dahlan menyifatkan pembinaan dua LRA dengan peruntukan RM800 juta itu sebagai satu pembaziran berikutan projek Horas di Bestari Jaya yang dibina pada Mac 2014 masih tergendala.

Beliau berkata kerajaan negeri seharusnya tidak tergesa-gesa meluluskan pembinaan LRA di Jenderam Hilir, Semenyih dan Labohan Dagang, Kuala Langat itu sebaliknya menyiapkan dahulu projak Horas yang sepatutnya beroperasi tahun lepas.

“Hairannya, kenapa perlu berbelanja duit beratus juta lagi untuk bina loji. Saya hendak tanya apa jadi dengan Horas? BN sudah tanya banyak kali dalam Dun, tetapi tidak dijawab.

“Jangan bazirkan duit rakyat. Sepatutnya Horas sudah beroperasi dan mampu bekalkan air kepada rakyat terutamanya ketika kita dilanda cuaca panas melampau. Saya juga ingin tanya adakah HORAS boleh dianggap projek gajah putih?,” katanya ketika ditemui media di lobi Dun hari ini.

Terdahulu, Mat Nadzari (BN-Batang Kali) ketika sesi perbahasan usul menjunjung titah Sultan Selangor dalam persidangan DUN, meminta kerajaan negeri menjelaskan mengenai projek Horas, namun tidak dijawab oleh Exco bertanggungjawab.

Sebaliknya Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) pula bangun dan menyalahkan kerajaan persekutuan berhubung krisis air di Lembah Klang sehingga menimbulkan kemarahan Mat Nadzari.

Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) turut menyelar tindakan Ng dan menyatakan kerajaan negeri sepatutnya mengakui kesilapan sendiri kerana menyusahkan rakyat akibat sering mempolitikkan pembinaan Langat 2.

Projek Horas yang dimulakan pada Mac 2014 adalah bagi menambah bekalan air mentah di Lembah Klang, terutama pada musim kering atau kemarau, dan projek itu merupakan gabungan sistem penakungan lebihan air daripada penggunaan loji rawatan serta air hujan dan penakungan air bawah tanah membabitkan pembinaan kolam takungan seluas 166 hektar dengan kedalaman 23.5 meter.

TAGS