BN sukar raih majoriti PRU13, kata penganalisis

BN sukar raih majoriti PRU13, kata penganalisis

Barisan Nasional (BN)  hanya akan meraih sekitar 2,000 undi majoriti  jika gagal mengekalkan sokongan pengundi pada PRU13 lalu dan menarik pengundi Cina dan India di dua Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini, kata penganalisis politik.

Dr Sivamurugan PandianPenganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, sasaran BN untuk mendapatkan majoriti undi  yang besar dengan isu-isu semasa hari ini tidaklah semudah dijangkakan.

“Ia bergantung kepada banyak faktor. Sejauh mana peratusan ahli dan penyokong Umno-BN akan keluar mengundi. Bagaimana jika sekiranya berlaku penurunan undi daripada kaum Cina?

“Bagi pengundi atas pagar pula adakah BN berjaya tarik mereka dan kecenderungan pengundi luar sama ada mereka akan balik mengundi.

“Semua faktor itu boleh mempengaruhi  perubahan pola pengundi bagi keputusan PRU13 lalu.

“Untuk capai angka itu, hanya boleh terjadi jika BN dapat memastikan jumlah undi yang diperolehi dalam PRU13 lalu dapat dikekalkan dan pertambahan undi itu akan berlaku sekiranya BN berjaya menyakinkan kaum Cina dan India dengan isu-isu semasa yang dimainkan dalam kempen pembangkang,” ujarnya dalam wawancara dengan Malaysia Dateline, Ahad lalu, di Sungai Besar.

Sivamurugan membuat jangkaan daripada pengamatannya di Kuala Kangsar dan Sungai Besar, berkemungkinan BN hanya mampu meraih majoriti sekitar 2,000 undi sahaja berbanding PRU13 lalu jika kemenangan memihak kepada BN.

Beliau berpandangan terdapat pengundi senyap di kalangan kaum Cina dan India di dua PRK ini yang akan mensabotaj calon parti masing-masing.

“Terdapat pengundi Cina dan India  pengundi senyap sebabnya mereka tidak tahu dan kurang maklumat apa yang berlaku antara parti-parti bertanding.

“Walaupun DAP bekerjasama dengan Amanah mereka juga harus menyakinkan Amanah bukannya klon Pas kepada pengundi Cina dan India.

“Cabaran besar pada BN pula,  jika BN berjaya yakinkan pengundi Cina bahawa Pas dan Amanah tiada bezanya, akan terdapat protes dalaman yang menunjukkan peningkatan terhadap peratusan tidak keluar mengundi dan undi rosak dikalangan kaum Cina dan India.

“Mungkin mereka kurang menyokong BN dan pada masa yang sama lakukan protes pada pembangkang,” jelasnya.

Di Parlimen Sungai Besar daripada 42,655 pemilih berdaftar terdapat sejumlah 13,000 pengundi kaum Cina dan 820 orang adalah pengundi kaum India.

Manakala di  Parlimen Kuala Kangsar daripada 32,949 pemilih berdaftar terdapat 7,800 pengundi kaum Cina dan sejumlah 2,299 pengundi kaum India.

Mengenai calon-calon yang bertanding membabitkan tiga penjuru di Sungai Besar dan empat penjuru di Kuala Kangsar beliau berkata, keterampilan, slogan dan kempen terhadap calon juga akan menyumbang kepada undi kaum Cina dan India di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

“Di Kuala Kangsar walaupun calon BN tidak keluar berkempen diganti anak-anaknya dan jentera BN yang bekerja kuat bantu Mastura ia bukanlah isu besar bagi pengundi.

“Apa yang perlu dilihat protes dalaman Umno-BN terhadap Mastura perlu diminimakan dalam hari kempen yang berbaki ini.

“Bagi pengundi Cina dan India mereka tidak melihat kepada siapa yang dicalonkan sebaliknya melihat kepada prestasi calon. Sebab itu Mastura kata, dia mahu meneruskan perjuangan Allahyarham suaminya dan menjadikan ‘track record’ suaminya sebagai sandaran.

“Kalau kita tengok slogan calon Amanah Dr Ahmad Termizi itu pula menggambarkan seolah-olah wujud ketidakadilan, tiada kebebasan di pihak kerajaan yang memerintah. Isu itu dimainkan pembangkang dalam kempen mereka di Kuala Kangsar.

“Saya rasa sebahagian akan tertarik dengan cara berkempen memburuk-burukkan kerajaan dan calon BN yang bertanding.

“Manakala di Sungai Besar kekuatan calon BN apabila Pas menurunkan calon Adun Meru Dr Abdul Rani.

“BN boleh menang mudah apabila kita membandingkan track record perkhidmatan antara Budiman dan Dr Abdul Rani di Sungai Besar, sudah pasti pengundi Melayu khususnya akan memihak kepada Budiman yang juga Adun Sungai Panjang sejak tiga tahun lalu.

“Pendekatan dibuat calon BN mendekati pengundi di Sekinchan satu strategi yang baik bagi meraih undi kaum Cina kerana beliau tidak perlu banyak menonjolkan diri di kalangan pengundi Melayu yang lebih mengenali beliau terutama di kawasannya di Sungai Panjang.

“Dalam satu keadaan jika calon BN tidak disabotaj penyokong BN sendiri, dan calon Pas adalah calon luar, perselisihan Pas dan Amanah, situasi itu akan beri kelebihan undi kepada BN,” ujarnya.

PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan berikutan kematian Ahli Parlimen masing-masing iaitu Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun ini.

COMMENTS

Wordpress (0)