BN terdesak berkempen awal di jalan raya, TV

Kempen BN pada waktu malam tidak terhalang dengan adanya skrin bercahaya.

Biarpun tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) secara rasmi bermula pada 28 April ini tetapi BN dilihat terdesak berkempen jauh lebih awal dengan memanipulasi pelbagai bentuk medium.

Tidak cukup dengan dominasi imej serba bagus di Buletin Utama TV3, Utusan Malaysia dan Berita Harian, BN turut ‘menjajah’ seluruh lokasi strategik di jalan raya utama sekitar Kuala Lumpur.

Tinjauan Malaysia Dateline sekitar ibu negara mendapati rata-rata kawasan berpenduduk ramai pengundi Melayu menjadi sasaran utama kempen BN dengan pemasangan bendera dan lambang dacing pelbagai saiz.

Tidak cukup siang, dominasi BN juga masih ketara menonjol pada waktu malam dengan paparan skrin elektronik bersaiz gergasi yang dapat dilihat dari kedua-dua arah jalan raya.

Flat PKNS di Kampung Baru dijajah bendera BN yang dicetak di Shanghai, China.

Di Parlimen Lembah Pantai yang mengisi banyak blok flat kos rendah, skrin bercahaya di Jalan Kerinchi memaparkan kempen BN berserta gambar Najib Razak bersama sekumpulan anak muda pelbagai kaum.

Tertera ungkapan, “Manifesto Barisan Nasional Bersama BN Hebatkan Negaraku” diikuti terjemahan dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris yang muncul saling silih berganti di kawasan berceracak gedung beli-belah, hotel dan apartmen mewah itu.

Di Kampung Baru yang terletak dalam Parlimen Titiwangsa, lokasi sekitar pintu gerbang dan Masjid Jamek di satu-satunya kampung warisan Melayu yang masih berbaki di pusat bandar raya, ‘ribut’ kempen BN paling terserlah.

BN berbelanja besar untuk kempen PRU-14 walaupun sudah sedia menguasai media arus perdana apabila sepanjang Jalan Raja Abdullah dipenuhi bendera dan kain pemidang parti yang dicetak oleh syarikat dari Shanghai, China itu.

Rumah pangsa PKNS di sebelah stesen LRT Kampung Baru dan flat menghadap Jalan Tun Razak pula hampir ditenggelami dengan bendera BN yang turut digantung dari hampir semua tingkat.

Kampung Baru menjadi mangsa awal kempen BN.

Penghuni di kedua-dua flat kos rendah berusia lebih 40 tahun di Kampung Baru itu dilihat sebagai harapan BN untuk terus berkuasa di Parlimen Titiwangsa biarpun kerajaan sebelum ini galak mahu mengambil tapak kediaman mereka bagi membina projek mewah.

Lokasi tumpuan warga kota beriadah di Tasik Titiwangsa yang pernah cuba mahu ditutup ekoran projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL) pula sejak bulan lalu lagi dijengah gantungan lambang dacing.

Sementara itu, wajah Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilihat menakluk Jalan Tuanku Abdul Rahman, Chow Kit sehingga ke Plaza Pekeliling.

Kelibat bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu juga terpampang pada papan iklan di tepi Stesen Keretapi Kuala Lumpur Sentral yang merupakan lokasi wajib singgah pelancong asing.

Di Jalan Gombak yang menjadi antara laluan paling sibuk di ibu negara turut terpampang billboard gergasi memujuk pengundi supaya memilih BN bagi Parlimen Wangsa Maju.

7.3
OVERALL SCORE
: 10.0
3 user votes x 6.3