BN terdesak ‘tembak’ Pakatan Harapan di Pulau Pinang

Video serangan ke atas PH ‘ditembak’ ke hala jejambat dekat Queensbay Mall, Pulau Pinang.

Tidak cukup berkempen di Buletin Utama TV3 dan di seluruh saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Barisan Nasional (BN) melancarkan taktik baharu menyerang Pakatan Harapan (PH) di atas jalan raya.

Modus operandi lagi 19 hari hari membuang undi itu didedahkan dalam satu rakaman video berdurasi tiga minit yang mulai tular malam tadi.

Difahamkan, kumpulan petugas kempen BN menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4×4), projektor dan pembesar suara dengan imej serangan ke atas PH itu ‘ditembak’ ke hala jejambat berdekatan Queensbay Mall.

Kandungan rakaman memburuk-burukkan PH itu dilihat bagi menarik perhatian pengguna jalan raya khususnya masyarakat setempat di Pulau Pinang.

Rakaman tersebut memaparkan sedutan ceramah beberapa pimpinan PH berserta ungkapan menyerang blok politik dianggotai Bersatu, AMANAH, DAP dan KeADILan itu.

Antara yang ditayangkan, ceramah Presiden AMANAH, Mohamad Sabu ketika berada dalam Pas yang mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad ketika Pengerusi PH berkenaan sebelum ini masih bersama Umno.

Penyandang Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pula menjadi sasaran serangan atas isu tol manakala sedutan ucapan Tun Mahathir tentang monopoli projek China di Malaysia disertakan kapsyen “fitnah menggadai negara pada China.”

Ungkapan “jangan percaya pada raja lalang” juga disiarkan ketika terpampang wajah Tun Mahathir.

Menariknya, tiada satu pun klip ucapan oleh pemimpin Pas yang masih dalam parti itu turut diselitkan dalam rakaman video yang dipancarkan ke jejambat itu.

4.1
OVERALL SCORE
6 user votes x 4.8