PTPTN : BN tidak dedah maklumat sebenar kewangan negara, kata Wan Saiful

PTPTN : BN tidak dedah maklumat sebenar kewangan negara, kata Wan Saiful

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Wan Saiful Wan Jan menafikan dakwaan seorang bekas menteri Barisan Nasional kononnya manifesto Pakatan Harapan mengenai soal bayaran balik pinjaman tabung itu dibuat tanpa memikirkan sedalam-dalamnya.

Beliau berkata dakwaan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin mengenai perkara tersebut adalah tidak benar, sebaliknya manifesto itu dibuat tanpa maklumat dan data tepat yang diberikan kerajaan BN dahulu.

“Saya rasa Khairy perlu sedar bahawa semasa mereka berada dalam kerajaan mereka tidak memberikan maklumat kewangan kerajaan yang sebenar kepada kami di pihak pembangkang dan kami terpaksa menulis manifesto berdasarkan maklumat-maklumat yang sedikit.

“Bila kami masuk ke dalam kerajaan barulah kami tahu keadaan sebenar seperti kedudukan hutang negara. Sekarang dia (Khairy) mendakwa kami menulis manifesto tanpa berfikir. Bukan tanpa berfikir tapi sebenarnya tanpa data lengkap sebab mereka tidak memberikannya kepada kami,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini dipetik Bernama.

Beliau diminta mengulas kenyataan Khairy hari ini yang dilaporkan berkata PH membuat janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 termasuk mengenai pinjaman PTPTN, tanpa berfikir sedalam-dalamnya sehingga kini dilihat tidak mampu menunaikannya.

Wan Saiful yang juga Timbalan Pengarah Biro Strategik dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)  berkata ekoran kedudukan kewangan negara ketika ini, kerajaan terpaksa memikirkan semula bagaimana untuk melaksanakan janji-janji yang terkandung dalam manifesto terutamanya 10 janji dalam masa 100 hari yang antaranya termasuk mengenai bayaran balik pinjaman PTPTN.

Menjelas lanjut mengenai janji itu, Wan Saiful berkata PTPTN telah menawarkan peminjam yang berpendapatan RM4,000 ke bawah yang hendak menangguhkan pembayaran balik untuk memohon kepada PTPTN dengan menyediakan maklumat pendapatan.

“Jika peminjam tidak memohon kepada PTPTN maksudnya mereka mempunyai pendapatan lebih daripada RM4,000 atau mereka mempunyai kemampuan untuk membuat bayaran walaupun pendapatan kurang daripada RM4,000,” katanya.

Katanya, maklumat pendapatan itu boleh diserahkan kepada PTPTN menerusi laman web perbadanan itu selewat-lewatnya 25 Julai ini.

9.0
OVERALL SCORE
: 10.0
4 user votes x 8.8