Malaysia Dateline

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak

BN usung pesalah jenayah jadi bahan kempen PRK Dun Slim

Barisan Nasional (BN) terus menerus menggunakan modus operandi memanfaatkan seorang pesalah jenayah sebagai bahan kempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Ithnin berkata, parti Melayu itu seolah-olah meredhai jenayah dilakukan Datuk Seri Najib Razak apabila menjadikan bekas Perdana Menteri itu sebagai bahan meraih sokongan ketika berkempen.

Walhal ketika ini katanya, Najib sudah pun dijatuhkan hukuman bersalah terhadap tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana bernilai sehingga RM42 juta.

“Di PRK Dun Slim, BN melaungkan (slogan) hidup Najib. Modus operandi ini memberikan signal bahawa mereka sedang memanfaatkan seorang pesalah jenayah dalam kempen PRK Dun Slim.

“Apabila BN menggunakan Najib untuk bekempen bermakna mereka meredhai kesalahan jenayah yang dilakukan Najib Razak.

“Apakah sebegini besar nilai dan status seorang pesalah jenayah sehingga dia di usung ke sana dan ke sini oleh jentera BN untuk berkempen?,” soalnya dalam satu video yang dimuatnaik di Facebook Pemuda AMANAH Nasional hari ini.

Shazni turut mempertikaikan bagaimana isu sebegini boleh dipandang remeh oleh BN yang sekaligus membuktikan tiada apa boleh diharapkan pada kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini.

Tambah pula katanya, rakan sekutu mereka iaitu parti Pas turut sama berkempen bersama dengan Najib Razak.

“Bukan sekadar BN, rakan sekutu mereka termasuk Pas pun turut bersama berkempen dengan Najib.

“Kalau ianya masih dipandang remeh, maka apa lagi yang boleh diharapkan pada kerajaan hari ini? Melainkan ini lah sebuah kerajaan didukung Umno-Pas yang meletakkan seorang pesalah jenayah sebagai pemimpin besar yang boleh duduk berkempen di mana sahaja.

“Tetapi mereka yang bersih dan tak terlibat dengan apa-apa jenayah pula difitnah dan dipandang hina oleh mereka,” katanya lagi.