BN yakin sapu bersih empat kerusi di Sepang

BN yakin sapu bersih empat kerusi di Sepang

Barisan Nasional (BN) Sepang yakin dapat menyapu bersih empat kerusi yang dipertandingan di kawasan itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Keyakinan itu disuarakan Ketua Umno Bahagian Sepang, Datuk Marsum Paing dalam majlis memperkenalkan calon BN kawasan berkenaan semalam yang disertai hampir 1,000 penyokong.

Marsum merangkap calon BN bagi Parlimen Sepang berkata, keyakinan itu berdasarkan penerimaan masyarakat terhadap calon yang dibariskan BN di kawasan berkenaan.

Datuk Marsum Paing

“Keempat-empat calon BN iaitu saya, Datuk Dr. Karim Mansor di Dewan Undangan Negeri (Dun) Tanjong Sepat, Shahrum Mohd. Sharif (Dun Dengkil) dan Datuk Ng Chok Sin (Dun Sungai Pelek) diterima oleh pengundi.

“Kita juga mendapat sokongan kuat daripada Pemuda, Puteri dan Wanita Umno serta parti komponen, ini menan-dakan kita bersatu hati untuk menang dalam PRU14,” katanya kepada media  seperti dilapor Utusanonline.

Menurut Marsum, jentera BN di Sepang telah menyusun program sejak lima tahun lalu sebagai persediaan untuk menghadapi PRU-14 dan usaha itu dimurnikan dengan penglibatan semua pihak termasuk pengundi.

“Kita telah lama bersedia untuk PRU14, hasrat kita adalah untuk menang 4-0 di sini. Ramai yang kata sukar untuk kita menang namun, bagi saya tidak mustahil untuk direalisasikan berdasarkan prestasi semasa calon yang ada.

“Calon BN ada kelebihan kerana merupakan anak jati di kawasan masing-masing. Kami juga diterima oleh pengundi sekali gus dapat mengelak tsunami politik seperti yang berlaku pada 2013 dahulu berulang,” katanya.