BNBBC Johor beri amaran orang luar jangan campur tangan

BNBBC Johor beri amaran orang luar jangan campur tangan

Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Johor mengingatkan pihak yang tidak berkenaan agar tidak campur tangan dalam hal ehwal Johor atau bimbangkan ekonomi negeri itu.

Pengerusinya Datuk Samsol Bari Jamali berkata Johor tidak memerlukan ‘orang luar’ (pembangkang) untuk mengajar pemimpin negeri mentadbir.

“Kita Bangsa Johor, kita bangga dengan Johor dan ada ‘cara Johor’. Perlu dijelaskan, jangan ada orang yang mahu campur tangan di Johor,” katanya berucap pada Ceramah Rakyat Negaraku Generasiku P.150 Batu Pahat, malam tadi.

Hadir sama menyampaikan ceramah ialah Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan, Naib Presiden MCA Datuk Chua Tee Yong, Pengerusi MIC Johor Datuk M. Asojan, Pengerusi MyPPP Johor Datuk Dr S. Sivakumar dan Pengerusi Gerakan Johor Datuk Teo Kok Chee.

Samsol Bari yang juga Ketua Penerangan Umno Johor berkata negeri itu mempunyai pemimpin berkaliber sebagai menteri besar.

Katanya dalam tempoh lima tahun, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membawa pelbagai pembangunan untuk kemudahan rakyat terutamanya dalam menyediakan perumahan menerusi Rumah Mampu Milik Johor.

Selain itu kata Anggota Dewan Undangan Negeri Semarang tersebut Johor juga mempunyai Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang sentiasa menjaga kebajikan rakyat baginda.

“Jadi, apa kegagalan kerajaan Johor yang dikatakan pembangkang?” katanya.

Justeru beliau menasihati rakyat Johor agar tidak menerima hasutan pembangkang secara membuta tuli.

“Apa yang hendak diharapkan dengan Pakatan Harapan sedangkan mereka tidak boleh diharap. Pilihan kita tiada lain selain BN. Di Johor, kita komited unjukkan rakyat bahawa BN yang dipelopori Umno, MCA, MyPPP dan Gerakan boleh memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyatnya,” katanya.

TAGS