Malaysia Dateline

BNM kekalkan OPR pada 3.25 peratus

Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetarinya (MPC) yang pertama bagi tahun ini hari ini memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus.

Pada kadar semasa OPR, tahap akomodatif dasar monetari sejajar dengan pendirian dasar yang ditetapkan, menurut bank pusat itu.

“MPC akan terus memantau dan menilai imbangan risiko berhubung prospek pertumbuhan domestik dan inflasi,” katanya dalam kenyataan.

BNM berkata penunjuk terkini menunjukkan pengembangan ekonomi yang mampan dengan permintaan dalam negeri akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan bagi 2019.

Penggunaan swasta akan terus disokong oleh pertumbuhan yang berterusan dalam guna tenaga dan upah manakala pelaburan swasta akan didorong oleh projek jangka panjang industri berorientasikan eksport dan industri pasaran dalam negeri yang sedang dilaksanakan.

Katanya pertumbuhan aktiviti sektor swasta yang mampan dijangka mengimbangi perbelanjaan awam yang lebih rendah berikutan langkah konsolidasi fiskal oleh kerajaan.

“Sektor luaran dijangka menjadi perlahan berikutan pertumbuhan global yang semakin sederhana. Risiko kepada prospek pertumbuhan cenderung untuk meningkat, terutamanya akibat ketegangan perdagangan yang terus meruncing dan juga kejutan berkaitan komoditi.

“Secara keseluruhannya, ekonomi Malaysia dijangka terus berada pada landasan pertumbuhan yang stabil pada 2019,” katanya.

Bank pusat itu juga berkata pasaran kewangan domestik kekal berdaya tahan meskipun mengalami volatiliti akibat perkembangan global dan sektor kewangan adalah teguh, dengan institusi kewangan beroperasi berlandaskan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh.

Katanya yang penting, asas ekonomi dalam negeri terus mantap, dengan pertumbuhan ekonomi yang kukuh, kadar pengangguran yang rendah dan lebihan akaun semasa dalam imbangan pembayaran.

BNM berkata inflasi keseluruhan berpurata satu peratus pada 2018 dan dijangka mencatatkan peningkatan yang sederhana pada 2019.

“Impak daripada dasar cukai penggunaan terhadap inflasi keseluruhan pada 2019 akan mula luput menjelang akhir tahun tersebut.

“Bagaimanapun, trajektori inflasi keseluruhan akan bergantung kepada harga minyak global,” menurut BNM, sambil menambah inflasi asas dijangka dapat dibendung dengan ketiadaan tekanan permintaan yang kukuh.

— BERNAMA