BNM & Lembaga Perkhidmatan Kewangan Dubai jalin kerjasama penyeliaan

BNM & Lembaga Perkhidmatan Kewangan Dubai jalin kerjasama penyeliaan

Bank Negara Malaysia (BNM) dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Dubai menandatangani Memorandum Persefahaman (Mou) bagi kerjasama penyeliaan terhadap institusi perbankan dan insurans/takaful/insurans semula yang beroperasi di kedua-dua negara secara berkesan.

“MoU itu dimeterai pada 28 Nov, 2018 menunjukkan usaha berterusan untuk menggalakkan kestabilan kewangan dalam bidang kuasa kedua-dua negara,” menurut BNM dalam kenyataan hari ini.

MoU itu juga menyediakan asas kukuh bagi pembangunan sistem penyeliaan berkesan seterusnya mengikut prinsip yang ditetapkan dalam Prinsip Teras Basel bagi Penyeliaan Perbankan Berkesan; Persatuan Antarabangsa Penyeliaan Insurans bagi Prinsip Utama Insurans; dan Syor Pasukan Petugas Tindakan Kewangan berkaitan Anti-Pengubahan Wang Haram.

Memorandum itu turut menggariskan kerjasama dan penyelarasan antara pihak berkuasa bagi pertukaran maklumat, pemudahan penyeliaan lapangan digabungkan dan rentas sempadan, pengeluaran lesen dan menangani pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

“Inilah aspek khusus kerjasama yang kini perlu ada memandangkan hubungan serantau, perdagangan antarabangsa dan pelaburan semakin berkembang dengan peningkatan aktiviti perbankan dan insurans/takaful/insurans semula rentas sempadan antara kedua-dua negara,” menurut BNM.

— BERNAMA