Malaysia Dateline

Bocor data peribadi penderma organ bukti Malaysia dalam krisis keselamatan

Menteri Komunikasi dan Multimedia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) disarankan bertindak proaktif susulan pendedahan mengenai kebocoran data peribadi penderma organ di negara ini.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, Datuk Seri Said Kruak dan SKMM perlu segera mempertingkat usaha untuk menangkap dan mendakwa pihak yang telah mencuri dan membocorkan data peribadi penderma.

“Saya juga menggesa agar Datuk Seri Salleh memberikan penjelasan status terkini siasatan terhadap insiden kebocoran data syarikat-syarikat telekomunikasi sebelum ini.

“Beliau juga perlu berterus terang sama ada wujud mana-mana kejadian kebocoran data peribadi lain yang belum diketahui umum, terutama yang melibatkan pangkalan data diurus badan kerajaan.

“Kebocoran data, jika tidak dihentikan, hanya akan mengurangkan kepercayaan umum terhadap tahap keselamatan pangkalan data sedia ada, sama ada yang diurus pihak swasta mahupun kerajaan.
“Oleh itu, tindakan segera mesti diambil untuk mengembalikan kepercayaan umum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Fahmi lagi, kejadian berlaku itu amat merisaukan kerana ia melibatkan maklumat kesihatan dan hubungan peribadi penderma organ.

“Ini juga merupakan insiden kebocoran data yang keempat, di mana sebelum ini ia melibatkan data dari syarikat telekomunikasi (46.2 juta data peribadi), laman web pekerjaan (17 juta data peribadi), dan beberapa badan perubatan (80,000 data peribadi).

“Ini bermaksud hampir 64 juta set data peribadi telah dicuri di Malaysia yang kini diketahui umum, itupun kerana ada pihak seperti Lowyat.net yang melaporkan.

“Kita tidak tahu apakah ada lagi sistem atau pangkalan data terutama yang diurus badan atau agensi kerajaan yang telah dibolosi.

“Teramat jelas Malaysia sedang berhadapan dengan satu krisis keselamatan data peribadi, sama ada yang diurus syarikat swasta mahupun badan kerajaan,” ujarnya.

Semalam, rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita kebocoran data peribadi dipercayai senarai penderma organ berjumlah lebih 220,000 orang dipercayai dicuri pada September 2016.

Malah mengikut laporan Lowyat.net, dipercayai lebih 440,000 orang terkesan dengan kebocoran data terbaru ini kerana maklumat peribadi orang yang mempunyai hubungan dengan penderma organ juga terdapat dalam set data tersebut.

Laporan tersebut dipetik turut berkata data itu dipercayai dicuri dari hospital-hospital kerajaan dan Pusat Sumber Transplan Nasional.