Malaysia Dateline

Boikot daging import, bangunkan industri daging tempatan

DATUK ZAMRI HASHIM

Cadangan Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim agar umat Islam ‘memboikot’ daging import sehingga status halalnya jelas dan mengajar kartel yang mengawal industri daging negara mendapat sokongan pelbagai pihak.

Ini kerana, industri daging tempatan perlu disokong dengan cara menyekat kartel daging import yang selama ini mengawal industri daging.

Datuk Zamri Hashim dalam kenyataannya kepada media berkata, umat Islam disaran mempertingkatkan kuasa pengguna dengan tidak memakan daging import khususnya lembu buat sementara waktu sehingga keyakinan mengenai status halal daging terbabit dikembalikan sepenuhnya.

Beliau berkata, orang ramai boleh menggunakan kuasa pengguna Islam itu sehingga memaksa penjual serta pengusaha hasil produk berkenaan akur, selain dapat mewujudkan ‘gelombang’ agar siasatan telus dapat disegerakan.

“Umat Islam boleh terus membeli daging lembu tempatan (seperti biasa) kerana di samping dapat mengelakkan keraguan mengenai status halalnya, ia dapat membantu penternak lembu tempatan.

“‘Gelombang’ diwujudkan berperanan supaya kemas kini proses import daging mahupun makanan lain (di masa mendatang) dilakukan dengan benar-benar menepati piawaian sijil halal,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada daging lembu yang berada di pasaran sekarang langsung tidak boleh dibeli atau harus terlebih dahulu memastikan ia disahkan benar-benar halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum membelinya.

Bagaimanapun, katanya, jika masih terdapat perasaan ragu-ragu, meninggalkan pembelian daging secara menyeluruh adalah dituntut berdasarkan suruhan Nabi Muhammad SAW melalui hadis mengenai keutamaan meninggalkan (sepenuhnya) sebarang bentuk keraguan.

“Bagi mengelakkan keraguan, orang ramai perlu mendapatkan maklumat sahih lalu tidak tergesa-gesa menularkan atau mempercayai berita masih belum ditentukan kesahihannya,” katanya.

Para netizen menyokong cadangan ini kerana tindakan ini juga boleh memajukan industri daging dan makanan negara yang pernah digagalkan oleh keluarga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Sharizat Jalil sebelum ini.

AHMAD MOHAMAD

“Dosa untuk daging lembu ni patut letak atas Sharizat. Orang suruh bela lembu dia pergi rembat duit tu,” tulis Ahmad Mohamad menerusi facebook beliau.

Katanya, semasa Datuk Seri Salahuddin Ayub menjadi menteri, ia tidak sempat dilakukan dalam masa hanya 22 bulan mentadbir.

“Saya tak yakin dia mampu merubah keadaan kerana industri lembu bersifat kartel. Di kelilingi pegawai kerajaan dah ramai yang kenyang. Mustahil nak ubah industri boleh dilakukan dalam tempoh 22 bulan,” kata beliau.

Kata Ahmad, apabila keluar skandal lembu ni beliau bersyukur.

“Kartel boleh dibunuh dengan kesedaran rakyat. Kempen tak makan daging import untuk 6 bulan boleh membunuh kartel,” kata beliau lagi.

Serentak dengan memboikot daging import, pendidikan food tech (teknologi makanan) kepada rakyat dengan mengantikan daging dengan bentuk makanan yang lain perlu dilakukan agar sumber protein selain dari daging dapat diganti, cadang beliau.

“Sudah lama rakyat dibodohkan oleh orang politik dan peniaga daging. Sekarang adalah masa sesuai kita benam pula peniaga daging dan ahli politik yang tahu menjaga perut dan kuasa politik dengan wang,” kata Ahmad lagi.

Sebaik sahaja dilantik sebagai menteri, Salahuddin Ayub berazam mahu mengembalikan semula projek penternakan lembu secara besar-besaran, Fidlot Nasional yang telah dikhianati oleh Shahrizat dan keluarganya sebelum ini.

Namun dalam masa 22 bulan, beliau bergelut dengan kartel daging import dan pegawai kerajaan yang korup yang dibela oleh kartel ini untuk mempastikan daging import mereka kekal menguasai pasaran.

Berikutan itu, usaha untuk membangunkan industri daging lembu tempatan tidak ada pembelaan yang cukup dan tidak berjaya.