Boikot PRK: Umno hilang jati diri, kata Sofi Wahab

Boikot PRK: Umno hilang jati diri, kata Sofi Wahab

Timbalan Pengerusi AMANAH Melaka, Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, keputusan Umno memboikot dan tidak meletak calon di pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson membuktikan parti itu tidak lagi mempunyai jati diri dan kekuatan.

Kata beliau, ia juga menunjukkan bahawa Umno mengalah sebelum masuk gelanggang.

“Umno tidak yakin dengan keupayaan mereka untuk menyaingi Pakatan Harapan (PH) khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terbukti masih mendapat sokongan padu rakyat.

“Ia juga menunjukkan bahawa Umno sedar bahawa mereka tidak lagi diterima oleh rakyat, justeru awal-awal lagi mereka menarik diri daripada bertanding,” kata Adun Durian Tunggal itu dalam satu kenyataan semalam.

Tambah beliau, ini adalah tanda-tanda awal bahawa Umno semakin mereput dan bakal lenyap daripada arus politik negara ini.

“Kita faham, setelah Umno tidak lagi ada kuasa, mereka tidak lagi mempunyai kekuatan dan bantuan jentera kerajaan yang sebelum ini mereka miliki.

“Begitu juga dengan meterial dan kewangan kerana mereka tidak lagi mempunyai sumber. Umno di kampung-kampung pun tidak lagi mempunyai tempat untuk bermesyuarat.

“Kalau dahulu mereka bermesyuarat di premis-premis milik kerajaan, kini hal itu tidak berlaku lagi,” kata beliau.

Ujar Sofi, tidak hairanlah sekiranya disebabkan perkara-perkara tersebut, Umno berkubur.

Kenyataan pemimpin-pemimpin Umno bahawa mereka tidak menyertai PRK ini kerana mereka ingin membuat pembaharuan pada Umno dan post mortem untuk melihat apakah yang membuatkan rakyat menolak mereka, adalah tidak kena, kata beliau.

Mereka, kata beliau, tidak mampu membuat pembaharuan selagi mereka tidak melakukan ‘reform’ seratus peratus kepada kepimpinan parti itu.

“Kepimpinan Umno yang ada sekarang adalah kepimpinan Umno yang lama. Mereka yang dilantik pada pimilihan Umno baru-baru ini adalah mereka yang juga bersama Datuk Seri Najib Razak dahulu dalam kerajaan.

“Mana mungkin pembaharuan dapat dilakukan jika Umno masih mengekalkan kepimpinan yang lama,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)