Malaysia Dateline

Boikot produk bukan Islam bukan strategi membina, kata Dr Hatta

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Dr Mohd Hatta Ramli hari ini berkata boikot produk orang bukan Islam bukan “strategi yang membina” dan memburukkan nama baik perniagaan-perniagaan orang Islam.

Hatta berkata peniaga Bumiputera sepatutnya bekerja keras menghasilkan produk yang bagus dan lebih yakin dengan mutu barangan mereka.

“Kalau anda ada produk atau perkhidmatan yang bagus dan anda ketengahnya dengan baik, orang akan menghargainya.

“Tetapi kalau anda cuba mendapatkan kelebihan dengan memboikot orang lain, itu mungkin tidak bagus untuk nama baik anda,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur Sustainability Roundtable, seperti dilaporkan FMT hari ini.

“Marilah kita membina dan bukan memusnahkan. Mari bekerjasama, malah, mari berniaga bersama semua orang di negara ini.”

Hatta menambah dia kagum melihat beberapa produk bermutu di Minggu Usahawan Nasional 2019 minggu lepas.

Beliau akui kesukaran yang dihadapi usahawan dari golongan B40, dan menambah masih banyak perlu dilakukan untuk membantu mereka.

“Di situ fungsi kementerian. Kita boleh memudahkan dan membantu menambahbaik produk mereka, pemasaran mereka dan lain-lain,” katanya.

Mengenai cadangan supaya dana-dana IKS disatukan bawah 1 kementerian, Hatta menyokong idea itu tetapi dia tak nampak ia akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Beliau menarik perhatian kepada keperluan untuk menyelaraskan pangkalan data agensi-agensi dan kementerian-kementerian berkaitan.

“Kalau kita tak boleh ada bawah satu kementerian, mungkin boleh selaraskan data itu.

“Bantuan-bantuan, dana-dana perniagaan dan pinjaman perlu diintegrasikan bawah satu pangkalan data tunggal supaya kita tahu siapa terima apa. Ini akan memastikan tiada bantuan kerajaan disalahgunakan.”