Malaysia Dateline

Boikot PRU, undi rosak tidak selesai masalah negara, kata Pemuda PH

Wan Anwar Wan Ibrahim 1
Wan Anwar Wan Ibrahim

Biro Undang-Undang Pemuda Pakatan Harapan prihatin dengan tindakan sesetengah kelompok anak muda yang seolah-olah mahu menggerakkan kempen boikot atau undi rosak menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

Pengarahnya Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, tindakan mereka kononnya disebabkan kerana telah muak dan hampa dengan “mainan dan sandiwara” politik oleh kedua-dua pakatan besar politik Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Biro Undang-Undang Pemuda Harapan ingin menasihati dan mengingatkan golongan ini bahawa walaupun tindakan mereka tidak bercanggah dengan demokrasi, tetapi adalah jauh daripada menyelesaikan masalah yang lebih besar dalam negara ini iaitu kezaliman dan penindasan kerajaan Barisan Nasional terhadap rakyat,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Justeru kata beliau, daripada melakukan tindakan memboikot dan undi rosak tersebut, alangkah baik sekiranya golongan ini bersama-sama dengan Pemuda Pakatan Harapan.

“Mereka boleh bersama dengan Pemuda Pakatan Harapan untuk menyakinkan rakyat dan menjadi penggerak penting perubahan untuk mencipta sejarah menjatuhkan rejim Barisan Nasional yang telah memerintah negara hampir 60 tahun.

“Malah golongan yang mewakili suara pengundi teramai ini juga boleh menggunakan kuasa undi mereka untuk menghukum mana-mana parti atau pakatan politik jika tindakan mereka jelas merugikan rakyat dan negara,” ujarnya.

Justeru Biro Undang-Undang Pemuda Harapan ujarnya lagi,  menyeru seluruh rakyat Malaysia yang layak mengundi untuk menggunakan satu-satunya hak mereka yang dijamin oleh Perlembagaan tersebut untuk menentukan hala tuju dan masa depan negara dalam PRU akan datang.

Sebagai rekod  seruan dari gerakan yang mahu menjalankan kempen #BoikotPRU atau #UndiRosak sebagai pilihan kepada pengundi yang tidak mahu menerima kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH). Bagi mereka itu adalah sebahagian daripada amalan negara demokrasi.