Boko Haram bunuh 60 penduduk kampung di timur laut Nigeria

Boko Haram bunuh 60 penduduk kampung di timur laut Nigeria

Sekurang-kurangnya 60 penduduk kampung yang menghadiri acara pengebumian dibunuh kumpulan pengganas Boko Haram di timur laut Nigeria, lapor agensi berita Anadolu memetik seorang pegawai tempatan pada Ahad.

Pegawai tempatan mengesahkan pengganas yang menunggang motosikal itu melepaskan tembakan rambang ke arah puluhan penduduk kampung Badu di negeri Borno.

Pengerusi Kerajaan Tempatan Ngazai Mohammad Bulama berkata kejadian berlaku kira-kira 11.40 pagi waktu setempat (1040GMT) pada Sabtu, dua minggu selepas penduduk kampung bertindak membalas serangan pemberontak.

“Penduduk kampung melawan serangan itu, membunuh 11 pemberontak dan merampas 10 laras senapang AK-47,” katanya.

“Kira-kira 11.40 pagi pada Sabtu pemberontak menyerang balas, membunuh lebih 60 orang dan mencederakan 11 yang lain,” kata Bulama.

Pada Ahad petang Gabenor negeri melawat mangsa yang dirawat di sebuah hospital awam.

Sejak tercetusnya pemberontakan Boko Haram di timur laut Nigeria pada 2009, kira-kira 20,000 penduduk termasuk orang awam dan anggota keselamatan terbunuh.- BERNAMA