Bolasepak, JDT Raih Trofi Kedua Selepas Muncul Juara Piala FA

Bolasepak, JDT Raih Trofi Kedua Selepas Muncul Juara Piala FA

Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih trofi kedua musim ini selepas muncul juara Piala FA menerusi kemenangan 2-1 ke atas PKNS FC pada aksi final di Stadium Shah Alam di sini, malam ini.

Untuk rekod, JDT meraih trofi pertama, Piala Sultan Haji Ahmad Shah menerusi kemenangan penalti 7-6 ke atas juara Piala Malaysia 2015, Selangor pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 13 Feb lepas.

Kemenangan ke atas PKNS FC menyaksikan skuad Harimau Selatan mengulangi kejayaan sama dicipta Johor FA (kini dikenali sebagai JDT II) yang menjulang Piala FA pada 1998.

Ia sekali gus mengubat kekecewaan JDT yang gagal mendakap Piala FA setelah kalah tipis 1-0 kepada Kelantan pada aksi final 2013 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pada aksi di Shah Alam, PKNS FC mendahului seawal minit keenam apabila Gabriel Miguel Guerra menyempurnakan sepakan penalti setelah beliau dijatuhkan pertahanan JDT.

Kapten JDT, Safiq Rahim berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-16 menerusi sepakan penalti setelah Jorge Pereyra Diaz dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh penjaga gol PKNS FC, G Jeevanathan.

Diaz kemudian menggandakan kedudukan untuk JDT pada minit ke-35 setelah memanfaatkan keadaan kelam kabut yang berlaku di dalam kawasan pintu gol PKNS FC dan keputusan 2-1 itu kekal sehingga berakhirnya babak pertama perlawanan.

Hujan lebat pada awal babak kedua tidak menjejaskan rentak JDT yang meneruskan serangan bertali arus ke kubu PKNS FC namun gagal menambah jaringan disebabkan ketangkasan Jeevanathan.

Penyerang import dari Argentina, Juan Manuel Corbelli hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-85 namun percubaan beliau daripada luar kotak penalti sekadar melintasi pintu gol sebelah kanan JDT.

Keputusan 2-1 itu kekal sehingga tiupan wisel oleh pengadil Syed Azhar Syed Kamar.

Lebih manis, Diaz turut dianugerahkan Pemain Terbaik Perlawanan Akhir.

Selaku juara, JDT membawa pulang Piala FA yang disampaikan oleh Tunku Mahkota Johor merangkap pemilik JDT. Tunku Ismail Sultan Ibrahim kepada Safiq.

Hadir sama menyaksikan aksi final berkenaan adalah Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Datuk Ismail Karim.

TAGS